Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Isnaraissah Munirah Majlis @ Fakjarudy membangkitkan persoalan mengenai jumlah kos tenaga dan ketelusan perjanjian bekalan elektrik yang ditandatangani di Sabah, khususnya melibatkan import tenaga dari Sarawak serta pelaksanaan projek Battery Energy Storage System (BESS) Lahad Datu.

Berucap dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, beliau juga merujuk kepada Power Exchange Agreement antara Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Sarawak Energy Supply Corporation (SESCO) Berhad yang ditandatangani pada 6 Ogos 2021 bagi pembekalan tenaga sebanyak 30 megawatt (MW) untuk tempoh 15 tahun.
Menurutnya, bekalan elektrik dari Sarawak itu dilaporkan mula disalurkan pada 6 Disember 2025, namun kadar tarif sebenar per kilowatt jam (kWh) yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan masih belum didedahkan kepada umum.
“Rakyat perlu tahu berapakah kadar tarif sebenar yang dipersetujui. Jika harganya jauh lebih murah berbanding kos purata IPP di Sabah iaitu sekitar 43.8 sen per kWh, mengapa kerajaan tidak merundingkan import tenaga yang lebih besar sementara menunggu empangan hidro siap,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sasaran pengguna bekalan tersebut, sama ada untuk kegunaan rakyat atau sektor komersial.
Selain itu, ADUN Usukan berkata Sabah Electricty masih berdepan struktur pemilikan aset penjanaan yang tidak seimbang, apabila hanya sekitar 20 peratus aset dimiliki syarikat utiliti negeri itu, manakala selebihnya dikuasai oleh Independent Power Producers (IPP) dengan kos operasi yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan mengenai garis masa konkrit untuk menyemak semula atau menamatkan kontrak IPP yang disifatkan berat sebelah atau loopsided agreement.
“Apakah pelan mitigasi kerajaan? Adakah kita akan menggantikan IPP dengan import tenaga murah atau terus bergantung kepada IPP sedia ada?” soalnya.
Menyentuh soal ketelusan, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada pelan induk seperti Sabah Energy Roadmap 2040, sebaliknya mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menyiasat secara telus struktur kos IPP di Sabah.
“Sampai bilakah kita mahu terus merayu subsidi daripada Kerajaan Persekutuan? Siapakah yang sebenarnya kita utamakan rakyat Sabah atau pemilik IPP?” katanya.
Persoal Projek BESS
Dalam perkembangan lain, ADUN Usukan turut mempersoalkan kos projek BESS di Lahad Datu yang bernilai RM644 juta dan dianugerahkan kepada MSR Green Energy Sdn. Bhd., berbanding projek BESS berkapasiti sama oleh syarikat yang sama di Santong, Dungun, Terengganu, yang hanya bernilai RM306 juta.
Beliau meminta penjelasan mengapa kos projek di Sabah hampir dua kali ganda berbanding di Terengganu serta menuntut perincian kos, termasuk Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC), kos operasi dan penyelenggaraan selama dua tahun serta kos Long-Term Service Agreement (LTSA) bagi tempoh lima tahun.
Menurutnya, kos operasi bagi projek di Terengganu dilaporkan berjumlah RM9.412 per kWh setahun, justeru persoalan turut dibangkitkan mengenai kos operasi dan kadar tarif yang akan dikenakan bagi projek BESS di Sabah.
“Penjelasan yang jelas dan telus amat penting bagi memastikan kerajaan negeri tidak terperangkap dalam beban kewangan jangka panjang yang akhirnya akan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.
Projek BESS Milik Siapa?- Kroni Bung untuk Chen Khai Voon Seal Incorporated Bhd
September tahun 2024 Malaysian Corporate pernah mendedahkan projek BESS merupakan projek Malaya milik TNB bakal merugikan Kerajaan Sabah 50 Juta setahun namun menguntungkan Bung Moktar dengan mengkayakan taikun Chen Khai Voon Seal Incorporated Bhd.
Projek BESS Sabah RM645 Juta: Siapa Di Sebalik Aaron Chen dan Seal Incorporated?
Pelaksanaan Projek Battery Energy Storage System (BESS) di Sabah mula mencetuskan persoalan serius selepas Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity memaklumkan projek tersebut pada 13 September lalu. Tidak lama kemudian, syarikat tersenarai awam Seal Incorporated Berhad memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya, MSR Green Energy Sdn Bhd, telah dianugerahkan tender BESS bernilai RM645 juta.

Semua keputusan projek BESS diputuskan oleh TNB dan Kerajaan Pusat. Pengerusi SESB Datuk Madius Tangau pun ketika itu mengambil maklum dan memuji-muji Projek BESS bernilai RM645 juta adalah telus dan sah, serta telah melalui proses pemilihan yang ketat. Beliau menafikan dakwaan kurang ketelusan atau ‘mark-up’,
Namun sumber berkata beliau menyokong kerana telah dibayar rasuah oleh taikun Chen Khai Voon.
Seal Incorporated dikawal oleh seorang taikun Malaya, Aaron Chen Khai Voon, yang sebelum ini lama menyepi daripada perhatian umum namun mempunyai kabel besar dalam Tenaga Nasional Berhad. Semua perniagaannya dimulakan dengan rasuah!.
Projek infrastruktur Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) dikatakan yang terbesar di Asia Tenggara tapi untuk siapa? Keuntungan kroni, kerugian kerajaan negeri dan rakyatnya?

Siapa Aaron Chen Khai Voon?
Nama Aaron Chen Khai Voon jarang diperkatakan sejak beliau berundur sebagai pemegang saham utama Tambun Indah Land Berhad dan Nadayu Properties Berhad lebih tujuh tahun lalu. Namun, sejak 2021, beliau kembali muncul sebagai pemain dominan selepas mengambil alih kawalan dalam beberapa syarikat senarai awam.

Walaupun orang awam lebih mengenali jenama Paparich, tidak ramai menyedari bahawa restoran itu dimiliki oleh Chen Khai Voon. Kontroversi terbesar yang dikaitkan dengan beliau berlaku pada 2020 apabila Paparich Group Sdn Bhd disaman bagi tuntutan hutang RM37.22 juta oleh Agathisfour Sdn Bhd bersama Lim Beng Guan, kes yang dibawa ke mahkamah.
Ketika ini, Aaron Chen merupakan pemegang saham terbesar dalam:
- Seal Incorporated Berhad
- Genetec Technology Berhad
- TSA Group Berhad

Beliau juga sebelum ini pernah menjadi pemegang saham utama Citaglobal Berhad (dahulunya WZ Satu Bhd) bersama Tan Sri Datuk Seri Dr Mohamad Norza Zakaria, sebelum menjual keseluruhan pegangan sahamnya pada 9 Januari 2023.
Kesemua kepentingan ini dikawal melalui kenderaan pelaburan peribadi beliau, KVC Corporation Sdn Bhd.
Struktur Pemilikan MSR Green Energy
Bagi syarikat pelaksana projek, MSR Green Energy Sdn Bhd, sebanyak 80.71% pegangan saham dikuasai secara langsung oleh Aaron Chen Khai Voon melalui:
- Seal Incorporated Berhad – 16.96%
- KVC Corporation Sdn Bhd – 63.75%
Ini bermakna kawalan strategik projek BESS sepenuhnya berada di tangan satu kumpulan korporat yang sama.
Kepentingan Strategik BESS, Namun Risiko Kerugian Jangka Panjang Selepas Kerajaan Sabah Ambil Alih Sabah Electricity
Projek Battery Energy Storage System (BESS) dipromosikan sebagai antara yang terbesar di Asia Tenggara, dengan dakwaan mampu memperkukuh keselamatan tenaga Sabah. Antara justifikasi utama yang diketengahkan ialah keupayaannya meningkatkan margin rizab Grid Sabah ketika waktu permintaan puncak, menyokong integrasi tenaga solar berskala besar (Large Scale Solar, LSS), serta memanfaatkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Jalan Dam, Lahad Datu 275 kilovolt sebagai titik suntikan tenaga strategik ke dalam sistem grid negeri.
Namun demikian, persoalan sebenar yang wajar diberi perhatian bukan sekadar keupayaan teknikal atau skala projek semata-mata. Isu paling kritikal ialah implikasi kewangan jangka panjang yang bakal ditanggung oleh Kerajaan Negeri Sabah, khususnya apabila struktur kos dan pulangan projek ini diteliti secara menyeluruh. Projek berskala mega tanpa imbangan pulangan yang munasabah berpotensi menjadi liabiliti kewangan, bukannya aset strategik seperti yang diwar-warkan.
Anggaran Kerugian dan Beban Kewangan Negeri
Analisis kewangan terhadap struktur projek ini menunjukkan potensi beban yang amat besar kepada kewangan negeri. Anggaran konservatif mencatatkan kerugian kumulatif mencecah RM980 juta, sekiranya faktor diskaun masa tidak diambil kira. Malah, walaupun selepas diselaraskan dengan nilai masa wang, projek ini masih menunjukkan nilai kini bersih (NPV) negatif sekitar RM456 juta, satu petunjuk jelas bahawa pulangan projek gagal menampung kos jangka panjangnya.

RM980 juta → jumlah kerugian kasar 20 tahun (tanpa diskaun)
RM456 juta → nilai kini bersih (NPV) bagi kerugian 20 tahun
Apa yang lebih membimbangkan ialah semua komitmen kewangan ini dimeterai sebelum Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Ini bermakna liabiliti projek ini berisiko dipindahkan secara langsung kepada kerajaan negeri selepas pengambilalihan penuh, tanpa ruang semakan semula yang mencukupi.
Beban Tahunan dan Persoalan Akauntabiliti
Selepas pengambilalihan penuh SESB, Kerajaan Negeri Sabah dijangka terpaksa menanggung kerugian berterusan hampir RM50 juta setahun akibat struktur kewangan projek ini. Persoalan besar kini timbul: adakah kerajaan negeri bersedia menampung kerugian tersebut melalui suntikan dana awam atau subsidi tahunan, sedangkan dana yang sama boleh dimanfaatkan untuk keperluan asas rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur luar bandar?
Tanpa penelitian bebas dan semakan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan, projek yang kononnya bersifat strategik ini berisiko menjadi beban fiskal jangka panjang kepada rakyat Sabah, sementara manfaat kewangan sebenar lebih cenderung mengalir kepada pihak swasta yang menguasai kontrak.
Lain-lain
