Pintu Masuk Stesen Bawah Tanah – Electric Boulevard Dibuka Di Battersea Power Station

Projek regenerasi ikonik Battersea Power Station di London, yang disokong oleh konsortium pelabur dari Malaysia, terus mencatat satu lagi kejayaan penting dengan pembukaan rasmi pintu masuk kedua ke stesen kereta api bawah tanah (Tube) di kawasan itu semalam.

SP Setia dalam satu kenyataan berkata, perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan infrastruktur pengangkutan di London, tetapi juga menjadi bukti kemajuan dan kejayaan berterusan sebuah projek antarabangsa yang mempunyai kepentingan nasional bagi Malaysia.

Pintu masuk baharu yang terletak di Electric Boulevard ini menyediakan laluan terus dan bebas halangan ke stesen Battersea Power Station di laluan Northern Line. Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar untuk Pengangkutan, Seb Dance.

Pembukaan ini amat signifikan kerana ia menawarkan laluan kedua yang bebas halangan (step-free), sekali gus meningkatkan kebolehcapaian bagi golongan kurang upaya, ibu bapa dengan kereta sorong bayi, atau para pembeli-belah.

Dilengkapi dengan dua eskalator dan sebuah lif, ia direka untuk menambah kapasiti stesen bagi menampung pertumbuhan pengunjung pada masa hadapan.

Sejak Sambungan Laluan Northern (NLE) dibuka empat tahun lalu pada 20 September 2021, ia telah merekodkan lebih 42 juta perjalanan, sekali gus memberi rangsangan besar kepada ketersambungan di kawasan berkenaan.

Stesen Battersea Power Station sahaja telah mencatatkan 9.4 juta pergerakan keluar masuk dalam tempoh setahun yang lalu.

Jumlah perjalanan yang tinggi ini, dengan purata lebih 175,000 perjalanan setiap minggu di stesen itu, membuktikan kejayaan projek berkenaan dalam mengubah kawasan itu menjadi sebuah destinasi popular.

Hari Sabtu dilaporkan menjadi hari paling sibuk di stesen berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Battersea Power Station Development Company, Sam Cotton menyifatkan sambungan laluan Northern Line sebagai satu transformasi.

Ia bukan sahaja penting kepada lebih 3,000 penduduk dan 7,500 pekerja di sana, tetapi turut menyokong pekerjaan dan kehidupan penduduk di sekitar kawasan Wandsworth.

“Terima kasih kepada sokongan berterusan daripada pemegang saham kami, dan peranan kritikal pihak berkepentingan lain termasuk Transport for London, kami dapat terus memajukan kejiranan baharu yang luar biasa ini untuk London,” kata Cotton.

Projek ini juga terbukti mengurangkan masa perjalanan penumpang antara kawasan itu dengan pusat bandar London secara purata sebanyak 17 minit, iaitu penurunan hampir 50 peratus.

Kini, Battersea Power Station telah berubah menjadi sebuah kawasan kejiranan serba guna di tebing sungai dengan lebih 2,200 kediaman, ruang pejabat seluas 800,000 kaki persegi, dan menempatkan lebih 150 jenama tempatan serta antarabangsa.

Kejayaan ini menyokong visi jangka panjang untuk mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan baharu dan membina lebih 4,000 kediaman apabila projek pembangunan semula seluas 42 ekar itu siap sepenuhnya kelak.

Dengan pembukaan pintu masuk baharu ini, destinasi yang kini menjadi tarikan utama di tengah London itu menjadi lebih mudah diakses oleh semua pihak untuk menikmati pelbagai tarikan yang ditawarkannya.

Back To Top