Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) mengumumkan telah memulakan tindakan undang-undang terhadap portal berita MalaysiaNow berhubung beberapa laporan dan video yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan memfitnah berkaitan isu lesen perlombongan di Sabah.
Dalam satu kenyataan media, syarikat yang dilantik kerajaan negeri Sabah sebagai badan pengurusan teknikal industri mineral itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa ia telah mengeluarkan lesen penerokaan kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd — seperti yang dilaporkan dalam kandungan MalaysiaNow baru-baru ini.
Tiada Kuasa Keluarkan Lesen
SMM menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kuasa statutori untuk mengeluarkan lesen penerokaan. Menurut kenyataan itu, kuasa tersebut hanya terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU), berdasarkan Ordinan Perlombongan Sabah 1960.
“Pengarah JTU telah mengesahkan perkara ini dalam kenyataan media pada 24 Julai lalu. Sehingga hari ini, tiada sebarang lesen penerokaan atau seumpamanya pernah diberikan kepada Bumi Suria,” kata kenyataan tersebut.

Kelulusan Bersyarat Dibatalkan
Menurut SMM, Bumi Suria sebelum ini hanya diberikan surat kebenaran bersyarat untuk memohon lesen — bukan lesen itu sendiri — namun gagal memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk kegagalan mengemukakan dokumen lengkap.
“Pada 24 Mac 2025, SMM telah mengeluarkan Surat Pembatalan kepada Bumi Suria. Namun fakta penting ini didapati tidak diambil kira oleh MalaysiaNow dalam laporan mereka,” tambah syarikat itu.

SMM Dakwa Laporan Tidak Beretika
SMM juga menyelar tindakan MalaysiaNow yang didakwa menggunakan gambar Ketua Pegawai Eksekutifnya, Natasha Sim, bersama rakaman audio yang tidak mengandungi sebarang suara beliau.
“Tindakan menggunakan imej CEO bersama kandungan yang tidak berkaitan merupakan satu perbuatan salah gambaran yang tidak beretika dan berniat jahat,” katanya lagi.
Tindakan Undang-undang Menyusul
Menyifatkan laporan MalaysiaNow sebagai “berat sebelah” dan “satu usaha terancang untuk mencemarkan nama baik SMM serta pegawai-pegawainya”, syarikat itu berkata peguam mereka telah diarahkan untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap portal berkenaan.
SMM juga mengingatkan semua pihak media dan individu agar tidak menyebarkan atau merujuk semula laporan MalaysiaNow yang dikatakan palsu itu.
MalaysiaNow salah gunakan dokumen lama
Isu ini timbul susulan laporan MalaysiaNow yang mendakwa wujud pengeluaran lesen penerokaan ke atas kawasan hutan seluas lebih 70,000 hektar di Kalabakan kepada Bumi Suria — sebuah syarikat yang dikaitkan dengan tokoh politik, Farhash Wafa Salvador. Farhash dan Datuk Aminuddin dilaporkan membeli syarikat Bumi Suria daripada Ag Mohd Zufaiza Zulkiply pada 7 Mei 2024 sebelum Jontih Enggihon bekas CEO SMM ditamatkan pada ogos 2024.
Dilaporkan kelulusan kebenaran mencarigali Bumi Suria pernah dibatalkan sebelum membuat rayuan semula dan diberi peluang sekali lagi untuk memohon kebenaran lesen carigali. Bagaimanapun lesen kebenaran itu tamat 24 Mac 2025.
Laporan tersebut telah mencetuskan reaksi meluas, termasuk dengan persepsi yang salah wal hal tiada lesen carigali dan tanah seluas 70 ribu hektar diberi kepada Bumi Suria Sdn Bhd.
MalaysiNow sebagai media berlesen sepatutnya mengesahkan maklumat sebelum mendedahkannya. Terbukti semua dokumen itu tidak sah.