Ops Ways, SPRM Tahan Empat Orang Dikaitkan Pusat Data Bernilai RM180 Juta

Putrajaya – Projek pusat data bernilai RM180 juta akhirnya terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu dan menahan empat individu, termasuk pasangan suami isteri, dalam siasatan ke atas projek pembinaan pusat data canggih di Johor.

Difahamkan, pasangan terbabit — seorang pengurus kontrak syarikat pembinaan dan isterinya — ditahan dalam serbuan khas Op Ways selepas disyaki menjadi dalang utama kegiatan rasuah sistematik melibatkan bayaran sogokan sehingga 2.5% daripada setiap nilai tender.

Tak cukup dengan itu, dua lagi pengarah syarikat yang turut menerima tender berkaitan projek tersebut juga dicekup bagi membantu siasatan. Hasil serbuan, SPRM berjaya merampas wang tunai sebanyak RM7.5 juta dipercayai hasil kegiatan haram itu.

“Mereka guna teknik ‘komisen tersembunyi’ untuk memastikan syarikat tertentu sahaja yang dapat projek. Ada yang ditawarkan tender bernilai jutaan ringgit, asalkan setuju ‘kongsi’ pulangan,” kata sumber.

Menurut maklumat awal, sogokan dipercayai diberi bagi melicinkan urusan kelulusan enam tender utama, termasuk kerja pembinaan, pemasangan sistem teknologi maklumat dan kemudahan sokongan di tapak projek.

Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan penahanan keempat-empat suspek yang kini ditahan reman antara tiga hingga tujuh hari bermula 18 Julai 2025.

“Kami sedang menyemak dokumen kewangan dan kontrak untuk kenal pasti jika ada penglibatan dalaman agensi kerajaan atau penjawat awam.”

SPRM kini sedang menjejaki semua transaksi bank dan aset mewah milik suspek, termasuk hartanah, kenderaan mewah dan pelaburan luar negara.

Menurut carian ada satu projek pusat data bernilai RM180 juta yang telah dimenangi oleh Mutu Nusantara Sdn Bhd pada bulan April 2025. Mutu Nusantara (MN) telah memperoleh kontrak RM180 juta untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan pencawang untuk pusat data. MN turut memenangi beberapa tender pembinaan lain daripada kerajaan dan juga Tenaga Nasional Berhad.

Setakat ini, SPRM belum lagi mendedahkan identiti sebenar syarikat yang dikaitkan dengan penahanan tersebut. Jauh sekali daripada tohmahan awal yang cuba mengaitkan syarikat itu dengan projek bernilai tinggi dan berbilion ringgit di negeri Johor. Keseluruhannya terdapat 50 projek pusat data (data center) di negeri Johor.

Back To Top