Selepas mengunci mulut mengenai insiden ‘diserang’ penyanyi bertaraf legenda ketika sesi latihan konsert, Khamis lalu, Shila Amzah malam tadi mengesahkan identiti individu terbabit.
Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Hamzah, 35, berkata keterangan penyanyi legenda terbabit dan beberapa individu berkaitan sudah diambil selepas laporan polis dibuat.

“Apa yang pasti bukan Ella atau Datuk Awie. Siapa yang cakap Awie itu tolonglah berhenti. Bukan nama-nama lain yang berada (buat persembahan) pada konsert tempoh hari.
“Sekarang kalau ikut kepada laporan polis dan keterangan daripada pihaknya (individu terbabit) juga sudah diambil. Jadi, kita lihat apa apa akan berlaku,” katanya ditemui selepas siaran langsung minggu keempat program The Raise Star di Royal Theatre di sini, malam tadi.
Penyanyi Patah Seribu itu menjelaskan tujuan laporan polis dibuat bukan mahu memburukkan penyanyi legenda terbabit, tetapi, sebagai langkah keselamatan untuk sebarang kemungkinan.
“Saya buat ini bukan hendak memburukkan nama sesiapa, tetapi apa yang salah tetap salah.
“Apa yang menyebabkan sesuatu negatif kepada orang lain, perkara itu salah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini,” katanya.
Shila berkata, laporan polis yang dibuat juga adalah untuk mempertahankan diri kerana trauma dengan insiden dilaluinya.
Tambah Shila, kes berkenaan masih dalam siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membuat keputusan.
“Apa boleh dikatakan, saya hormati apa keputusan yang polis buat. Sejujurnya, apabila saya buat ‘cover report’, itu sebenarnya betul-betul untuk pertahankan diri dan mental.
“Macam mana saya mahu keluar dan buat kerja kalau rasa tidak selamat. Tetapi, ada juga (pihak) di luar sana yang persoal kenapa saya sampai buat laporan polis.
“Tetapi, zaman sekarang ini saya tegaskan, jangan tunggu sampai keadaan teruk, baru mahu ambil tindakan. Untuk perkara yang boleh jadi lebih teruk, perlu terus bertindak,” katanya.

Khamis lalu, Shila membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 kedai serbaneka, Mr D.I.Y di Stadium Merdeka di sini.

Datuk Awie berkata sesiapa yang menuduhnya merangkaklah nanti di padang mahsyar. Awie menafikan dia terlibat dan meminta seorang lagi artis lagenda agar berterus terang tentang kes Shila itu.
Hasil siasatan, polis dilapor mendedahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila diserang penyanyi terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilapor berkata, punca kejadian itu adalah rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya.