PUCHONG: NCT Alliance Bhd (NCT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pemegang saham sedia ada Setara Juara Sdn Bhd (SJSB) bagi memperoleh 51 peratus kepentingan ekuiti dalam SJSB.
Dalam satu kenyataan, NCT berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan pelan strategik untuk mengembangkan perniagaan pembangunan hartanah, khususnya di Sabah.
“Kerjasama strategik ini menyerlahkan dedikasi NCT terhadap pertumbuhan dan tumpuannya untuk menyampaikan pembangunan bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti dan pihak berkepentingan,” katanya.
SJSB, sebuah syarikat swasta yang diperbadankan di Malaysia, memegang hak pembangunan untuk kira-kira 101.04 hektar tanah yang terletak secara strategik di Teluk Dumpil, dalam daerah Putatan di Sabah.
Terletak di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Kota Kinabalu-Putatan-Lok Kawi, tapak projek itu terletak kira-kira 15 minit (13 kilometer) dari Pusat Bandar Kota Kinabalu, 10 minit (enam kilometer) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan lima minit (satu kilometer) dari Pusat Bandar Putatan.
Tanah berkenaan dirancang untuk pembangunan bercampur dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak kira-kira RM3 bilion.
Projek itu dijangka menarik pelbagai penduduk dan perniagaan, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, projek ini akan mendapat manfaat daripada pelancaran Program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H).
Program terbabit dijangka meningkatkan permintaan warga asing untuk hartanah bertingkat tinggi dan merangsang pasaran hartanah di Sabah.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata MoU itu adalah komponen penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan untuk Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia dengan populasi seramai 3.6 juta orang.
“Sabah mempunyai lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini, menjadikannya destinasi yang menarik untuk pelancong yang tertarik dengan keindahan semula jadi serta sebagai pusat pelaburan yang penting.
“Perjanjian ini menandakan langkah penting untuk Kumpulan NCT dalam mengembangkan kehadiran kami di Sabah, kali ini dengan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi baru yang mempunyai kepakaran terbukti dalam pembangunan hartanah di Sabah,” katanya.
Ngan Choy berkata, MoU itu turut mewakili langkah penting bagi NCT dalam misi untuk mencipta dan mengembangkan ruang kehidupan inovatif dan mampan di lokasi utama di seluruh Malaysia.
“Projek di Teluk Dumpil ini bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran hartanah yang semakin meningkat di Sabah, menawarkan pelbagai pilihan untuk penduduk dan perniagaan sambil meningkatkan kualiti hidup keseluruhan di rantau ini,” katanya.
Menerusi cadangan pengambilalihan itu, Herman Lee Show Kien dan Melvin Lee Ying, pemegang saham dan pengarah semasa SJSB, akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan terbabit.