Time Dotcom Bhd Untung RM112.99 Juta

Keuntungan bersih Time Dotcom Bhd mencatatkan keuntungan meningkat kepada RM112.99 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 daripada RM110.67 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Time Dotcom dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan meningkat 2.6 peratus kepada RM428.59 juta daripada RM417.77 juta sebelumnya, disokong oleh permintaan mampan untuk penyelesaian data dan ketersambungan serta didorong oleh segmen runcit.

“Keuntungan kekal stabil, mencerminkan penurunan sumbangan daripada pelaburan dan pendapatan faedah bersama-sama dengan kerugian pertukaran asing bersih berbanding keuntungan dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Mengenai prospek, penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu berkata ia kekal komited terhadap pertumbuhan jangka panjang perniagaan ketersambungannya dengan meluaskan liputan rangkaian, memanfaatkan rekod prestasi pelaksanaannya dan melaksanakan strategi pergi ke pasaran yang berkesan untuk menawarkan produk, penyelesaian dan perkhidmatan inovatif kepada pelanggan.

“Kumpulan itu juga komited untuk memacu amalan kemampanan merentas operasinya dan mengembangkan perniagaan tenaga boleh baharunya sebagai respon kepada peluang pasaran yang berkembang,” kata Time Dotcom.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Afzal Abdul Rahim, berkata kumpulan itu kekal fokus pada perkara paling penting iaitu menyampaikan perkhidmatan boleh dipercayai, meningkatkan pengalaman pelanggan dan mengukuhkan keupayaan terasnya ketika industri sedang berkembang.

Back To Top