
Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat nama yang menjadi pilihannya daripada senarai 12 calon yang mengesahkan bertanding.
Mereka ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan.
Untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, Menteri Ekonomi itu menyenaraikan 25 nama yang mana barisan itu menggabungkan mereka dalam kalangan wakil rakyat, pemimpin muda termasuk penyandang jawatan berkenaan.
Antaranya ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Turut disenarai Rafizi sebagai pilihan membarisi MPP adalah Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat dan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin; Fahmi Zainol; M Anbarasan; Raiyan Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat; Saiful Izham Ramli; Datuk Romli Ishak; Khairul Anuar @ Jonah dan Ahli Dewan Negara; Bob Manolan Mohamad; Mohd Fauzi Abdullah, V Anmuniandy, Najib Bakar, Kenny Chiew Chi Kin, Abe Yo Gua Musang, Yew Boon Lye dan Datuk Dr Mohd Johari.
Bagi melengkapkan barisan kepimpinan MPP, ia akan dianggotai 25 orang yang mana 20 daripadanya dipilih, manakala lima lagi secara lantikan.
Bagi sayap pergerakan Ketua Wanita, Rafizi menamakan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail merangkap Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR sebagai pilihan.

Rodziah hadir sebagai pencabar kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selaku penyandang dalam saingan satu lawan satu untuk jawatan itu.
Sayap pergerakan AMK pula menyaksikan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Arshad Hassni menjadi pilihan Rafizi sebagai timbalan ketua.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Rafizi berkata beberapa minggu lalu beliau ada menerima pelbagai pandangan dan mesej daripada akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan yang teguh membawa semangar reformasi, setia dan bukan sekadar mengejar kedudukan.
“Cabaran kita hari ini adalah memilih pimpinan yang mampu kekal berpegang kepada idealisme reformasi, walaupun diuji dengan kuasa.
“Kita berdepan persaingan daripada pelbagai kumpulan tetapi masa depan parti hanya boleh dibina oleh mereka yang sudah teruji dan kekal setia pada prinsip.
“HIRUK – Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa bukan sekadar slogan. Ia adalah seruan untuk mengembalikan roh perjuangan KEADILAN, agar kita terus berpijak di atas kekuatan sendiri. Saya pulangkan pilihan kepada perwakilan dari seluruh negara,” katanya.
Di kalangan tinjauan penganalisis, kem Rafizi dijangka akan tumpas teruk dalam pemilihan kali ini di tangan pasukan DAMAI yang dipimpin oleh Nurul Izzah yang nampak lebih kuat bila didokong bersama oleh pimpinan utama seperti Menteri Besar Selangor, Setiausaha Politik Kanan PMX dan Adam Adli sendiri. Beberapa nama daripada kem Rafizi dilihat mungkin menang dalam pemilihan MPT berasaskan kekuatan individu bukannya sebagai kem HIRUK.