YTL Comms dapat projek 1BestariNet secara tender terbuka, berjaya selesai tempoh kontrak – YTL

KUALA LUMPUR: YTL Power International Bhd (YTL Power) malam ini mengesahkan pihaknya ada menerima permohonan mendapatkan maklumat berhubung projek 1Bestarinet daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi kenyataan media, YTL Power Bhd, berkata permohonan SPRM itu dikemukakan kepada anak syarikatnya, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), baru-baru ini.

Justeru, katanya, YTL Comms sentiasa bekerjasama dengan SPRM bagi membantu siasatan kes itu, selain percaya ia akan diselesaikan sewajarnya.

“Kami merujuk pelbagai laporan berita dalam talian hari ini mengenai siasatan dijalankan SPRM ke atas YTL Comms berkaitan projek 1BestariNet.

“Kami mengesahkan ada menerima permohonan daripada SPRM baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat daripada YTL Comms berhubung projek berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011.

Difahamkan, siasatan itu bermula selepas SPRM membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Comms di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, YTL Power berkata, projek 1BestariNet itu dianugerahkan kepada YTL Comms secara tender terbuka selepas menewaskan persaingan membabitkan 19 syarikat, pada 2011

“YTL Comms dipilih kerana tawarannya yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif.

“Projek ini disahkan berjaya diselesaikan pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019 oleh KPM,” katanya.

Back To Top