BEIJING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kelihatan sebak dan beremosi ketika memberitahu Presiden China Xi Jinping mengenai Almarhum puteranya, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
Tunku Abdul Jalil mangkat pada 2015 akibat kanser hati dan pernah menjalani pembedahan pemindahan hati di First Affiliated Hospital, Universiti Sun Yat-sen di Guangdong, China pada 10 Disember 2014.
Sultan Ibrahim yang sedang dalam rangka lawatan negara selama empat hari bermula 19 September hingga esok, menitiskan air mata dalam pertemuan dengan Xi semalam di Dewan Besar Rakyat.
Baginda menyampaikan ucapan terima kasih kepada China kerana membantu Almarhum puteranya menjalani pemindahan hati di China.
Tunku Abdul Jalil, putera keempat daripada enam beradik, berjuang melawan kanser hati peringkat empat.
Walaupun pembedahan yang dilakukan berjaya, baginda mangkat setahun kemudian pada usia 25 tahun.
Xi dan Menteri Luar China, Wang Yi yang turut hadir dalam pertemuan itu dilaporkan ‘amat tersentuh’ hati melihatkan keadaan Agong, menurut laporan akhbar harian Cina Malaysia, Sin Chew.
“Mereka semua merasakan Sultan Ibrahim adalah seorang bapa yang sangat mencintai anaknya,” lapor Sin Chew, memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Agong dedah nenek moyangnya dari Guangdong
Kor Ming yang merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia, turut mendedahkan bahawa Sultan Ibrahim memberitahu Xi bahawa nenek moyangnya berasal dari Guangdong dan namanya ialah Huang Yajiao.
“Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong kita mempunyai keturunan Cina dan selepas mendengar titah baginda, Xi segera mengarahkan pegawai untuk pergi ke Guangdong bagi mengesan salasilah keluarga Sultan Ibrahim,” katanya.
BERNAMA melaporkan bahawa ini adalah lawatan negara pertama oleh seorang Yang di-Pertuan Agong ke China dalam 10 tahun, menandakan saat penting bagi kedua-dua negara sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim memuji kemajuan China, dengan menyifatkan pembangunan negara itu sangat mengagumkan. Baginda juga menjemput Xi untuk melawat Malaysia. – AGENSI