MIDF Research menimbulkan kebimbangan terhadap penjualan saham syarikat pembinaan Malaysia yang semakin meningkat susulan projek Stargate oleh OpenAI dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek.
Selain itu, MIDF Research berkata, sekatan cip AI oleh Amerika Syarkat (AS) juga telah mempengaruhi sentimen pasaran sektor pembinaan, terutamanya memberi kesan kepada saham Gamuda an Sunway Construction (SunCon).
Walaupun trend pusat data global (DC) kelihatan tidak menentu, MIDF Research yakin Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan DC, menonjolkan lokasi strategik negara, sumber yang banyak dan kelebihan kos.
Katanya, maklum balas industri mencadangkan tiada gangguan yang ketara kepada projek DC akan datang, menekankan peranan berterusan negara sebagai pemain penting dalam ekosistem DC.
Firma penyelidikan itu mengaitkan turun naik pasaran baru-baru ini kepada faktor luaran, seperti sekatan cip AI yang dikenakan oleh pentadbiran Biden dan kebimbangan mengenai inisiatif Stargate iaitu pelan AS bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion) yang disokong oleh Microsoft dan Meta.
Walaupun perkembangan ini mungkin telah menjejaskan keyakinan pasaran, firma penyelidikan itu berkata, kebimbangan mengenai peranan Malaysia dalam pasaran DC global dilihat berlebihan.
Satu faktor yang boleh menyederhanakan kesan sekatan cip AI ialah kemunculan DeepSeek, model AI Cina yang dilaporkan telah mencapai prestasi peringkat ChatGPT dengan kos yang rendah.
Jika dakwaan kecekapan DeepSeek terbukti sah, MIDF mencadangkan syarikat AS akan memperolehi kuasa pemprosesan yang sama dengan menggunakan unit pemprosesan grafik yang jauh lebih sedikit.
“Ini seterusnya boleh menyokong pengembangan DC di Malaysia atau membolehkan kemudahan sedia ada ditingkatkan, mengimbangi potensi gangguan yang disebabkan oleh pengehadan cip AI.
“Sekiranya kecekapan DeepSeek meningkat, Malaysia boleh melihat peralihan ke arah projek DC yang bernilai lebih rendah namun frekuensi lebih tinggi, yang boleh memberi kesan kepada unjuran hasil kontraktor utama,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajian, hari ini.
MIDF Research menyerlahkan sektor DC tidak semata-mata bergantung pada cip AI terutamnya bagi DC yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan berasaskan awan.
Contohnya, DC sandaran di Johor Bahru boleh mengurangkan gangguan perkhidmatan jika kabel gentian optik dasar laut yang menyambungkan DC AS gagal berfungsi.
Faktor-faktor ini menekankan daya tarikan jangka panjang Malaysia sebagai hab DC, tanpa mengira turun naik dalam ketersediaan cip AI.
Memandang ke hadapan, MIDF Research percaya kekuatan jangka panjang sektor pembinaan adalah utuh, disokong oleh aliran kerja yang kukuh, projek infrastruktur mega yang berterusan dan pelaburan sektor swasta yang berterusan.
Inisiatif utama kerajaan, seperti Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) dan transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang dijangka memberi sokongan selanjutnya untuk sektor tersebut.
Pilihan utama MIDF Research untuk sektor ini ialah Gamuda (“beli”, harga sasaran (TP): RM5.42), IJM Corp (“beli”, TP: RM3.89), Sunway Construction (“beli”, TP: RM4.46) dan Malayan Simen (“beli”, TP: RM6.81)-Dagang News