Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa selebriti termasuk artis terkenal yang dikaitkan dengan syarikat perunding kewangan CSA Academy yang tumpas dalam Ops Sky.
CSA Academy sebelum ini melantik duta rasmi terkenal iaitu pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi terkenal negara Ziana Zain.

Menurut Azam Baki mereka akan dipanggil minggu depan untuk membantu siasatan.
Keterangan akan diambil selepas siasatan mendapati terdapat sejumlah dana digunakan untuk selebriti berkenaan, termasuklah menjadi wajah kepada syarikat berkenaan.
“Daripada keterangan dan semakan kewangan yang diperoleh, selebriti-selebriti ini menerima bayaran sekitar RM150,000 hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
“SPRM juga mengesan terdapat bayaran turut dibuat untuk tajaan konsert dan gubahan lagu khas bagi pihak sindiket itu,” katanya
Ziana Zain sebagai duta CSA Academy dilaporkan menyanyikan lagu tema CSA Academy ‘Semangat Wira’ yang telah dilancarkan Mei tahun lalu

Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).
Demi menipu penjawat awam dan rakyat CSA Academy diketuai Dr. Jay Ong Mun Ho sanggup membayar selebriti-selebriti ini ratusan ribu ringgit sebagai wajah untuk meyakinkan orang ramai bagi menggunakan perkhidmatan mereka.
Dr. Jay Ong Mun Ho dan CSA Academy selain menipu pelabur mereka juga bijak mengaburi rakyat dengan bergiat aktif dalam menaja program-program hiburan membabitkan selebriti terkenal, program kebajikan termasuklah penganjuran acara berskala besar.
Melalui Ops Sky juga, SPRM mendedahkan sejumlah RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan bank-bank pada satu masa.
Sejak tiga minggu lalu, media melaporkan, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat CSA Academy dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.