Ryt Bank – Bank Digital AI Pertama Di Malaysia

KUALA LUMPUR: YTL Digital Bank Bhd, usaha sama antara YTL Digital Capital Sdn Bhd dan Sea Ltd, telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk beroperasi sebagai bank digital generasi baharu dengan nama Ryt Bank.

Kelulusan itu membolehkan Ryt Bank memulakan operasi pada 20 Disember 2024, dan pelancaran perkhidmatannya kepada orang ramai akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi, berkata gabungan kepakaran YTL Digital Capital dan Sea Ltd dijangka merevolusikan sektor perbankan di Malaysia.

“Kami akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk memberikan pengalaman perbankan yang tiada tandingan kepada pelanggan, seterusnya menawarkan perkhidmatan kewangan yang inklusif dan bermakna bagi membantu mereka mencapai matlamat kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Ryt AI, sistem pintar yang dikuasakan oleh AI, direka khusus untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan berfungsi sebagai jurubank peribadi digital, memudahkan akses kepada perkhidmatan perbankan secara lebih fleksibel dan bersesuaian.

Sistem itu turut memastikan keperluan unik pelanggan dapat dipenuhi dengan cekap, pantas dan lancar, selain disokong oleh perkhidmatan bantuan sepanjang masa bagi menjamin pengalaman perbankan terbaik.

-BERNAMA

Back To Top