Malaysia Airlines terima pesawat A330neo pertamanya

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, telah menerima penghantaran pesawat A330neo pertamanya semalam.

Dalam kenyataan, MAG berkata, pesawat A330-900 ini adalah yang pertama daripada 20 unit yang disewa daripada Avolon oleh MAG. 

Kataya, ia menetapkan piawaian baharu untuk kecekapan bahan api dan pengalaman penumpang.

“A330neo MAG dikonfigurasikan dengan susun atur premium dua kelas. Pesawat ini mempunyai 297 tempat duduk, termasuk 28 suite Kelas Perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya serta kabin Ekonomi baharu yang mampu memuatkan 269 penumpang. 

“Penumpang akan menikmati ruang peribadi yang lebih luas, ruang penyimpanan di atas kepala yang lebih besar, kualiti udara yang dipertingkatkan, serta hiburan dalam penerbangan terkini dan sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi.

“Malaysia Airlines akan menggunakan pesawat ini untuk laluan di seluruh Asia dan Pasifik, serta pada laluan terpilih ke Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu di laman X, MAG berkongsikan detik ketibaan pesawat A330neo pertama Malaysia Airlines itu yang diiringi oleh jet pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Selepas perjalanan selama 13 jam dari Toulouse, Perancis, penerbangan MH5039 mendarat dengan bergaya di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) dengan sambutan semburan air.

MAG menjadi syarikat penerbangan ke-20 yang menyertai kumpulan operator global pesawat A330neo yang moden dan cekap bahan api. 

Setakat ini, Airbus telah menyerahkan lebih daripada 140 pesawat A330neo kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia, menjadikan model ini sebagai pilihan yang tiada tandingan dalam kelasnya.

Back To Top