RM5 juta Bagi Teraju AI Selangor dengan kerjasama Google Cloud

31 Mei 2024, Ng Sze Han 黄思汉, Adun Kinrara dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor telah mengumumkan Google membuat pelaburan sebanyak RM 9.4 bilion di Selangor untuk pusat data dan Google Cloud Region membawa kesan berganda yang signifikan kepada pelbagai industri termasuk industri semikonduktor.

Hari ini, satu lagi sejarah termetrai antara kerajaan negeri Selangor dan Google bila Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), memperuntukkan RM5 juta bagi melaksanakan Teraju AI Selangor dengan kerjasama Google Cloud.

Inisiatif itu adalah untuk membantu agensi kerajaan negeri membina dan melaksanakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) bagi memanfaatkan rakyat serta komuniti.

Dibiayai oleh Selangor, Teraju AI Selangor akan membolehkan agensi negeri meningkatkan perkhidmatan awam dalam bidang seperti komunikasi rakyat, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal bagi memajukan projek yang memacu pelancongan dan meningkatkan hasil pertanian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beliau mengiktiraf potensi AI generatif (Gen AI) dan AI agentik (agentic AI) dalam membentuk semula perkhidmatan awam dan mempercepatkan transformasi Selangor untuk menjadi negeri pintar.

“Dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ini, kerajaan Selangor mengenal pasti 11 agensi untuk menyertai usaha sama bersama Google Cloud Malaysia dan STDC.

“Antara agensi yang terlibat termasuk Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Sumber Manusia, serta Jabatan Dewan Undangan Negeri Selangor,” katanya semasa majlis menandatangani MoU bersama Google Cloud Malaysia, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, fasa pertama kerjasama itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun dengan sasaran akan diperluaskan ke lebih banyak jabatan dan sektor dalam tempoh berkenaan.

“Inisiatif itu turut merangkumi penubuhan inkubator industri AI bagi memenuhi keperluan syarikat pemula di Selangor, merangkumi aspek pembelajaran, pembangunan, serta peningkatan skala bagi pelbagai fasa untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui kerjasama ini, kerajaan akan mengutamakan penggunaan data yang selamat dan beretika dengan jaminan sifar kompromi terhadap privasi serta keselamatan data, kerana ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Teraju AI Selangor juga, kerajaan Selangor melabur untuk sebuah sandbox inovasi AI yang pertama seumpamanya dalam sektor awam Malaysia.

“Sandbox ini ditubuhkan oleh STDC dan Google Cloud, akan menyediakan akses yang dibiayai kepada agensi yang mengambil bahagian untuk menggunakan rangkaian teknologi AI bersepadu sepenuhnya milik Google Cloud selama enam minggu.

“Sepanjang bengkel ini, pengamal dan pembangun AI daripada agensi terbabit akan menerima latihan praktikal yang disesuaikan, bagi membolehkan mereka mengenal pasti kes penggunaan strategik yang boleh ditangani menggunakan AI dan membina sekurang-kurangnya satu prototaip penyelesaian AI,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara Malaysia dan Singapura Google Cloud, Serene Sia, berkata Selangor berada pada kedudukan yang tepat untuk menjadi antara penerima manfaat utama daripada pelaburan Google di Malaysia, termasuk keupayaan AI.

“Menerusi Teraju AI Selangor, kami memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Selangor dan STDC bagi mengenal pasti bidang khusus AI boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti, memperkasa proses membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan yang memberi impak besar selari dengan keutamaan negeri seperti Rancangan Selangor,” katanya.

Back To Top