KUALA LUMPUR: Kerajaan bersama Kementerian Luar telah mendapat kepastian untuk menyegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ucapan khas pada Rabu memamklumkan usaha bersama Kerajaan Jepun untuk menubuh dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur membangunkan Gaza termasuk dengan pembinaan infrastruktur termasuk sekolah, rumah sakit dan masjid.
“Alhamdulillah, atas usaha Kerajaan dan Menteri Luar kita telah dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur maknanya program Asia Timur untuk membangunkan Gaza.
“Bagi pihak Malaysia dengan usaha ini dan usaha saya percaya bersama dengan rakyat dan juga kolaborasi dengan sektor swasta, insya-Allah kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat. Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya.
Malaysia kini dalam proses rundingan dengan negara Jepun untuk mengadakan satu persidangan untuk memikirkan kaedah bagi mengumpul dan merancang pembangunan semula Gaza.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses rundingan dengan negara Jepun untuk mengadakan satu persidangan untuk memikirkan kaedah bagi mengumpul dan merancang pembangunan semula Gaza bakal melibatkan negara yang mempunyai aliran pemikiran yang sama dengan Malaysia.
Kerajaan Malaysia dan Jepun bersama-sama bersetuju supaya persidangan dapat dilakukan dalam kadar segera berbanding perancangan asal, pada Julai.