Pertemuan dengan syarikat gergasi UAE lonjak kerjasama perdagangan dan pelaburan – PM Anwar

ABU DHABI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuannya dengan syarikat-syarikat gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika lawatan kerja tiga hari ke negara itu, akan merapatkan hubungan dua hala dan melonjakkan kerjasama perdagangan serta pelaburan yang terjalin selama ini.

Perdana Menteri tiba di sini, kelmarin, dan memulakan hari kedua lawatan, semalam, dengan mengadakan pertemuan bersama tiga pengurusan kanan Dana Kekayaan Berdaulat negara itu, di sini, iaitu Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), Mubadala serta Masdar.

“Kami membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka kerjasama dalam tenaga boleh baharu (TBB), sekuriti makanan dan tenaga, kecerdasan buatan (AI), serta menangani isu serantau dan global bersama,” katanya dalam hantaran melalui media sosial beliau.

Anwar berkata, pada pertemuan dengan ADIA yang diketuai Pengarah Urusan, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan, kedua-dua pihak senada untuk terus meningkatkan kerjasama pelaburan dan kecemerlangan dicapai dalam lawatan beliau yang terdahulu.

“Dalam pertemuan dengan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak, soal pelaburan baharu dan sedia ada turut dibincangkan,” katanya.

Anwar berkata, antara perkara dibincangkan pada pertemuan dengan CEO Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi, ialah isu berkait pelaburan projek-projek TBB.

“Insya-Allah, kita berharap momentum positif pelaburan hasil pertemuan ini akan terus meningkat, yang disokong oleh keyakinan dan komitmen pemain industri serta syarikat-syarikat gergasi UAE,” katanya.

Back To Top