Kenyataan Media Pejabat Peguam Negara Timbulkan Lebih Banyak Persoalan kata Haniff Khatri

Kuala Lumpur – Pengamal undang-undang terkenal, Haniff Khatri Abdulla, telah menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara hari ini.

Haniff menyatakan bahawa walaupun kenyataan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang, ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Kenyataan media bertarikh 28 Disember 2024 itu merujuk kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang menekankan bahawa sebarang permohonan pengampunan mesti melalui saluran yang betul, iaitu Lembaga Pengampunan.

Haniff, yang mengulas isu-isu berkaitan pengampunan yang dibangkitkan dalam kenyataan tersebut, mempersoalkan sama ada kenyataan itu merujuk kepada permohonan pengampunan terkini oleh atau bagi pihak Datuk Seri Najib Razak. Beliau menekankan bahawa jika benar terdapat permohonan baru, rakyat berhak mengetahui butiran lanjut, termasuk siapa yang mengemukakan permohonan tersebut dan melalui saluran apa.

Sebaliknya, jika tiada permohonan baru, beliau mempersoalkan sama ada kenyataan itu berkaitan dengan kontroversi Titah Addendum bertarikh 29 Januari 2024, yang sedang menjadi isu di Mahkamah Rayuan. Perbicaraan mengenai perkara tersebut dijadualkan berlangsung pada 6 Januari 2025, kurang seminggu dari sekarang.

Haniff menyuarakan kebimbangannya bahawa kenyataan ini boleh dianggap sebagai campur tangan tidak wajar dalam proses kehakiman, sekali gus melanggar prinsip subjudis. Beliau memberi amaran bahawa kenyataan yang tidak lengkap atau tidak jelas daripada Pejabat Peguam Negara berisiko mengundang tindakan penghinaan mahkamah.

“Kita tidak boleh lupa bahawa Pejabat Peguam Negara merupakan pihak yang terlibat dalam rayuan tersebut. Tambahan pula, Titah Addendum yang dipertikaikan dikatakan dialamatkan kepada Peguam Negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh katanya.

Beliau menambah bahawa sekiranya tiada permohonan terkini yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak, kenyataan ini berpotensi mendedahkan Pejabat Peguam Negara dan pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut kepada risiko tindakan penghinaan mahkamah.

Haniff turut menyeru agar Pejabat Peguam Negara memberikan penjelasan yang menyeluruh dan tidak menerbitkan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta persoalan dalam kalangan rakyat.

“Demi kesejahteraan negara dan keluhuran perlembagaan, Pejabat Peguam Negara perlu mengeluarkan kenyataan yang lengkap dan jelas, bukan sekerat-sekerat,” tegasnya.

Back To Top