Kenanga Invesment Ramal Pembeli Kereta T15 Beralih Kepada Kereta Lebih Kecil

KUALA LUMPUR: Kenaikan gaji penjawat awam pada bulan ini sebahagiannya mampu memulihkan kuasa beli mereka dan dijangka membantu memacu jualan kereta pada tahun depan, demikian menurut penganalisis.

Menurut penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, pasaran automotif tempatan kini menunjukkan trend dua kelajuan seperti yang dijangkakan pada tahun 2024 dan mungkin berterusan pada tahun 2025.

Katanya, bagi segmen mampu milik, ia akan terus berjalan seperti biasa kerana pelanggan sasarannya, iaitu golongan B40 dan bahagian bawah M40, tidak akan terkesan oleh rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan dan berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

“Kenaikan gaji bagi kebanyakan penjawat awam (pengurusan tertinggi akan menerima kenaikan sebanyak tujuh peratus, manakala profesional dan eksekutif akan menerima kenaikan sebanyak 15 peratus) pada Disember 2024 juga akan sebahagiannya memulihkan kuasa beli mereka yang terhakis akibat inflasi yang tinggi.

“Namun begitu, situasi berbeza bagi segmen premium. Ini kerana, pelanggan sasarannya, iaitu golongan atasan M40 dan T15, mungkin menangguhkan pembelian kereta baharu, menukar kepada kereta yang lebih kecil, atau beralih kepada kenderaan elektrik (EV) untuk mengurangkan kos bahan api mereka apabila rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, Wan Mustaqim berkata, sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 800,000 unit bagi tahun ini dilihat mampu dicapai apabila tempoh keseluruhan 11 bulan mencapai 91 peratus daripada unjuran berkenaan.

“Kami menganggap angka ini sejajar dengan jangkaan. Ramalan kami untuk jualan kenderaan baharu di Malaysia pada 2024 atau TIV, yang dikekalkan pada 800,000 unit, terbukti tidak terlalu agresif, kerana Persatuan Automotif Malaysia (MAA) juga telah menyemak semula sasaran mereka pada November kepada paras ini.

“Melangkah ke hadapan, kami percaya TIV bagi Disember 2024 akan lebih tinggi daripada TIV November 2024, didorong oleh kempen promosi akhir tahun apabila pengeluar kenderaan berusaha untuk menghabiskan inventori tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan e-Invois memberikan kesan yang lebih kecil terhadap jualan kereta berbanding jangkaan awal mereka.

“Pengeluar kereta kini berlumba-lumba menawarkan diskaun dan rebat bagi memastikan permintaan kekal kukuh dan mengurangkan kesan e-invois terhadap sentimen pengguna.

“E-Invois pada dasarnya akan menghentikan amalan biasa pembiayaan sewa beli 100 peratus, yang mengelak pematuhan Akta Sewa Beli 1967 di mana pelanggan dikehendaki membuat bayaran pendahuluan minimum sebanyak 10 peratus,” katanya.

Back To Top