Tiga Anggota Polis Ditahan Berhubung Kes Kecurian Barang Kemas Wanita Meninggal Dunia di Setapak

KUALA LUMPUR, 1 November 2024 – Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian barang kemas milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir kondominium di Setapak pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyatakan tangkapan ini dibuat selepas laporan seorang lelaki tempatan dan kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Barang rampasan termasuk sekeping resit dan logam kekuningan seberat 11.52 gram.

Kesemua suspek, berpangkat konstabel hingga koperal, direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut. Rusdi turut meminta orang ramai mengelak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang. 

Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu. 

Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu. 

Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barang kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci. 

Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Back To Top