HeiTech Padu raih kontrak NIISe bernilai RM892.19 juta

HeiTech Padu Bhd memperoleh kontrak bernilai RM892.19 juta untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan adalah untuk mengkaji, mencadangkan, mereka bentuk, membangun, membekal, menghantar, memasang, menguji, menyepadukan, memindahkan dan menyegerakkan data, pentauliahan dan pelaksanaan pengurusan perubahan dan latihan untuk projek NIISe.

“Kontrak ini adalah untuk tempoh 60 bulan bermula dari 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2029,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

HeiTech Padu berkata, ia perlu mengemukakan kepada kerajaan Malaysia bon prestasi yang berjumlah RM8.92 juta dalam tempoh tidak melebihi 30 hari dari tarikh penerimaan kontrak itu.

“Tanpa sebarang keadaan yang di luar jangka, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan dan seterusnya sehingga kontrak selesai,” katanya.

Sementara itu, dalam makluman yang berasingan, HeiTech Padu berkata urus niaga sahamnya akan disambung semula berkuat kuasa 9 pagi pada 21 Oktober 2024.

Back To Top