PM Anwar umum peruntukan RM13 juta untuk pascabanjir di Kedah

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan RM13 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negeri itu.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu termasuk bantuan kewangan yang disalurkan agensi Persekutuan dan negeri kepada semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memantau kemajuan empat projek tebatan banjir di Kedah bagi memastikan kesan kerosakan banjir dapat diminimumkan pada masa hadapan.

“Di Kota Setar sahaja, kita peruntukkan RM3 juta dan bagi seluruh Kedah kita agihkan RM10 juta supaya apa-apa kerosakan dan ganti rugi yang munasabah dapat dibuat segera selepas banjir.

“Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selaraskan hal ini supaya disegerakan.

“Tujuan saya datang adalah untuk pastikan perjalanan yang baik dan semua bantuan kepada rakyat termasuk pesawah padi disampaikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamad.

Anwar berkata, banjir di Kedah secara keseluruhannya terkawal dan semua agensi menjalankan tugas dengan baik bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Pada masa sama, Perdana Menteri meminta mangsa banjir bersabar dan semua pihak berdoa supaya banjir segera surut bagi membolehkan orang ramai pulang ke rumah segera.

“Kita sudah sampaikan bantuan RM1,000 kepada orang ramai dan saya dengar Menteri Besar juga ada tambah bantuan juga.

“Apa yang penting segala kerosakan, kerugian harta, haiwan ternakan dan hasil tanaman akan diteliti untuk ringankan beban ditanggung mereka.

“Bagi sekolah kerajaan atau negeri yang rosak kerana dijadikan pusat penempatan, ia akan ditampung kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan diuruskan Menteri Pendidikan,” katanya.

Back To Top