Dasar Luar Malaysia Sentiasa Memihak Kepada Kerjasama Kukuh Dengan China – Agong

BEIJING, 20 Sep- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah dasar luar Malaysia sentiasa memihak kepada kerjasama kukuh dengan China.

“Malaysia telah melalui pelbagai kerajaan, tetapi saya di sini sebagai Raja bagi negara itu.

“Dasar luar Malaysia sentiasa memihak kepada perkongsian kukuh dengan China. Bergerak maju bersama-sama, itu yang kita harapkan,” titah Seri Paduka Baginda pada pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping hari ini.

Sultan Ibrahim yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas, mengadakan Lawatan Negara sulung ke republik itu hingga 22 Sept ini, atas jemputan Xi.

Seri Paduka Baginda bertitah pembangunan China amat mengagumkan.

“Terima kasih atas kepimpinan anda (Presiden) yang berwawasan, dan juga kepada rakyat China yang bekerja keras,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Xi dan kerajaan China kerana menerima kunjungan Seri Paduka Baginda dengan layanan mesra dan aturan yang baik di kota yang indah dan hebat ini.

“Saya ingin menyampaikan jemputan peribadi saya kepada anda Presiden, untuk datang dan melawat Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong diberi sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing bersempena dengan Lawatan Negara ke republik itu selama empat hari yang bermula semalam.

— BERNAMA

Back To Top