Pempengaruh Islamik, Alif Teega didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan dana awam lebih RM63,000 menerusi dua program infaq, April dan Jun lalu.
Bagaimanapun, Alif atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya mohon bicara,” katanya ringkas.
Alif yang memakai baju kemeja petak ditemani isterinya, Aisyah Hijanah dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar di Makkah, Syria, Palestin di sebuah bank di Jalan Kerinci, Gerbang Kerinci Lestari, di sini, pada 26 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, pempengaruh itu didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan JOM! SERTAI INFAQ DAGING QURBAN di bank yang sama pada 15 Jun lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan denda.
Pada Julai lalu, Alif dan isterinya yang juga pempengaruh popular direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Turut direman ialah dua lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Perintah reman itu dibuat selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahannya.
Sebaik direman, pasangan itu kemudian membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar penahan reman itu mengikut Seksyen 23 SPRM berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan semakan pasangan itu apabila mendapati Mahkamah Majistret Putrajaya mematuhi peruntukkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Pasangan suami isteri itu turut menegaskan mereka tidak pernah menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi.