LIMA: Malaysia bersedia untuk menyelaraskan dasarnya bagi memenuhi permintaan baharu dan industri yang sentiasa berkembang menerusi pendekatan pelbagai hala untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau memberikan contoh pada masa ini Malaysia sedang membincangkan mengenai penilaian semula secara menyeluruh bagi dasar pemuliharaan air selain menekankan mengenai permintaan air yang tinggi daripada pusat data.
“Kami tidak pernah menerima permintaan air yang begitu tinggi melainkan pada masa ini daripada pusat data ini.
“Saya tidak pasti apakah yang mereka lakukan dengan air itu, tetapi mereka terus mahukan lebih banyak air, lebih banyak tenaga,” kata beliau secara berseloroh pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi Kecerdasan Buatan (AI).
Ahli panel lain dalam sesi itu ialah Naib Presiden Data dan AI Microsoft Zia Mansoor, CEO Vobile Yangbin Wang dan Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Karan Bhatia.
Turut hadir ialah Menteri Luar Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Ahli Majlis Perniagaan Apec (ABAC) Kanada Jan De Silva ialah moderator bagi program itu yang diadakan di Grand National Theatre of Peru.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata selain itu terdapat keperluan dari segi menambah kemahiran, latihan semula dan memberi pendedahan serta mengubah kurikulum di universiti, kolej dan sekolah.
Perdana menteri berkata, dalam hal ini Malaysia meraih hasilnya berikutan mempunyai kerajaan yang peka.
“Apabila rakan-rakan kami daripada Microsoft, Google dan Huawei berjumpa kami, kami memberitahu mereka untuk memberikan kami sedikit masa. Biar kami mendengar dan memahami keperluan yang mereka harapkan,” kata Anwar.
Sehubungan itu, perdana menteri berkata dasar awam dan kerajaan tidak boleh menganggap bahawa mereka boleh terus mengajak dan menarik pelaburan seperti ini tanpa bersedia untuk melaksanakan inisiatif besar yang membolehkan kehadiran agensi pelaburan ini.
Anwar turut mengakui bahawa kemajuan yang diraih negara dari segi menarik pelaburan tidak terlepas daripada cabaran dan halangan tertentu.
“Kami turut berdepan dengan beberapa peraturan birokrasi dan perlu berupaya menyelaras atau menangani aspek ini. Sistem ini bukan hanya melibatkan kerajaan negeri, kami juga ada pihak berkuasa tempatan. Jadi, bagaimana kita boleh menangani semua ini?
“Tetapi, sekiranya kita dapat melaksanakannya dengan satu pelabur utama tertentu, maka ia membawa kepada peluang yang lebih luas,” katanya dalam sesi selama 45 minit itu.
Menjawab persoalan bagaimana aspek ini dapat dilakukan dalam konteks Asean, Anwar berkata ia memerlukan penyelarasan yang berkesan.
“Kita mempunyai kerangka yang lebih besar, insentif yang agak sama, dan kita saling melengkapi memandangkan negara-negara lain mempunyai kepakaran, tetapi tiada air, dan sebahagiannya lagi mempunyai tenaga. Jadi, kami ingin bekerjasama dengan lebih berkesan dalam hal ini.
“Saya berbangga untuk memaklumkan bahawa dalam Asean, kami berbincang mengenai grid Asean, yang akan membantu, misalnya dalam mencipta atau menyediakan lebih banyak tenaga,” kata perdana menteri.
Malaysia akan menjadi pengerusi Asean pada 2025.