Fahmi tidak terlibat beri kontrak 5G pada U Mobile

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dia dan timbalannya tidak terlibat dalam proses pelantikan U Mobile sebagai pengendali jaringan 5G kedua.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Karim (Pakatan Harapan-Pasir Gudang) sama ada pemilihan itu melibatkan faktor pemegang-pemegang sahamnya.

“Jadi berkenaan dengan isu pegangan seperti yang saya sebut dalam jawapan tadi, pihak SKMM melantik secara bebas.

“Menteri tidak terlibat, timbalan menteri tidak terlibat dalam sebarang proses penilaian,” katanya.

Pelantikan U Mobile menarik perhatian antaranya susulan senarai pemegang sahamnya. 

Straits Mobile Investments Pte Ltd, milik syarikat pelaburan Singapura, adalah pemegang saham terbesar dengan 48.3 peratus.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menjadi pemegang saham kedua terbanyak U Mobile dengan 22.3 peratus.

U Mobile mengumumkan akan mengurangkan pegangan saham asing kepada 20 peratus.

Back To Top