Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah dua lagi lokasi didakwa dijadikan safehouse’ oleh seorang ahli politik berpengaruh, malam tadi.
Penggeledahan terkini itu susulan operasi SPRM sebelum ini berkaitan siasatan skandal rasuah jutaan ringgit Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor berkaitan konsesi perlombongan pasir membabitkan anak syarikat cabang pelaburan negeri.
Mengulas dua lokasi itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata satu daripadanya membabitkan sebuah pejabat, manakala satu lagi premis tidak diperincikan lapor Berita Harian
“Pegawai saya telah kira, ada tambahan (penggeledahan) dua ‘safehouse’ lagi. Salah satu daripadanya, ada penemuan SG$74,000 (RM243,000).
“Kemudian di satu tempat di pejabat, dijumpai wang lebih kurang RM78,000. Kita juta telah mendapat maklumat ada wang dibuat pelaburan di Singapura… yang itu saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya, siapa pemiliknya,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Semalam, SPRM dilapor menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.
BH difahamkan, pangsapuri di Kuala Lumpur itu menjadi tempat penyimpanan wang hasil rasuah milik seorang individu berpengaruh dan ia dipercayai digunakan untuk tujuan tertentu termasuk politik.
Dalam pada itu, Azam tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan lain di ‘safehouse’ lain.
“Ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan juga risikan terhadap penyimpanan wang ini. Mungkin ada dibuat penyimpanan di bank lain. Ini sedang kita siasat,” katanya.
Memperincikan suspek yang terbabit, Azam memaklumkan jumlah suspek ditahan sehingga kini adalah empat orang yang membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita.
Sebelum ini, katanya, pihaknya memberi maklumat terdapat dua orang suspek yang ditangkap seperti yang dilaporkan media, semalam.
“Suspek (pertama) ditangkap pada 10 Oktober dan direman sehingga 15 Oktober. Suspek (ini) berkaitan dengan seorang pengarah syarikat ataupun seorang ahli perniagaan.
“Ada seorang itu yang pernah bertugas di MBI Selangor dan dia ini seorang lelaki, umur lebih kurang 45 tahun. Tetapi kita hanya dapat reman selama satu malam sahaja kerana dia mempunyai masalah kanser prostat.
“(Suspek) ketiga seorang berjawatan sebagai pemandu berumur 43 tahun. Dia pun direman selama tiga hari dan telah pun dilepaskan.
“Seorang lagi wanita. Dia ini adalah bekas seorang pegawai kewangan satu syarikat yang mana syarikat ini mendapat konsensi perlombongan pasir berkenaan. Berumur 46 tahun dan telah dilepaskan selepas direman lebih kurang tiga hari,” katanya.
Ketika ditanya sekiranya SPRM sudah memanggil ahli politik yang terbabit untuk siasatan selanjutnya, Azam berkata individu itu akan dipanggil setelah mendapat bukti mencukupi.
“Ya, dia akan dipanggil pada satu masa yang difikirkan sesuai oleh pegawai penyiasat saya.
“Seperti mana lazimnya, kami perlu mendapatkan segala bukti yang kita rasa wajar, kita perlukan dan telah disahkan, barulah orang berkenaan akan dipanggil.
“Saya memang tidak akan menolak atau menafikan beliau akan dipanggil tapi selepas kami ataupun pegawai penyiasat saya berpuas hati tentang beberapa lagi penemuan dokumen dan juga wang yang berkaitan.
“Sekarang ini pun lebih kurang 15 orang saksi telah dipanggil. Saya jangka akan ramai lagi saksi yang akan dipanggil untuk penyiasatan.
“Selain Akta Pencegahan Rasuah 2009 yang di bawah Seksyen 16, kami juga akan membuka beberapa kertas-kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.