‘Buyau’ selamatkan diri, Aida isteri kedua Azam Baki dipindahkan ke BPIA SPRM

Gelombang rombakan dalaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya, Dato’ Sri Abd Halim Aman, terus mendapat perhatian apabila seorang lagi pegawai kanan dilaporkan dipindahkan ke bahagian lain dalam agensi tersebut.

Maklumat yang diperoleh menunjukkan ‘Puan Sri’ Nur Aida Ariffin kini ditempatkan di Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA), sebuah bahagian yang berperanan menyelaras pengurusan integriti di kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

BPIA bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan Unit Integriti Agensi (UI), memperkukuh tadbir urus, memantau pematuhan, mengurus dasar integriti serta membantu membangunkan budaya kerja yang telus dan berakauntabiliti di seluruh sektor awam.

Sebelum pertukaran tersebut, Nur Aida Ariffin berkhidmat di Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, yang memfokuskan kepada siasatan berkaitan pengubahan wang haram, pelucuthakan harta, pengesanan aset serta transaksi kewangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan rasuah atau jenayah kewangan diketuai oleh Datuk Norhaizam Muhammad @ Buyau budak kesayangan Azam Baki.

Nama beliau pernah disebut dalam prosiding Mahkamah Tinggi ketika perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, apabila mahkamah dimaklumkan bahawa beliau merupakan isteri kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Datuk Norhaizam Muhammad @ Buyau nampaknya bijak menyesuaikan diri dengan ‘menjilat’ KP SPRM yang baharu untuk kekal. Kemungkinan besar beliau pegawai kanan yang akan terus bertahan di jawatannya sekarang. Apakah beliau dari ‘budak’ Azam Baki akan jadi ‘budak’ Abdul Halim Aman?

Nur Aida Ariffin atau ‘Garing’ dilaporkan sebelum ini sangat berkuasa di AMLA namun kini tidak mendapat pembelaan daripada Datuk Norhaizam Muhammad @ Buyau sehingga terpaksa dipindahkan ke BPIA. Menurut sumber Tan Sri Azam Baki bengang dan mengadu kepada PMX mengenai ketegasan Dato’ Sri Abdul Halim namun KP Baharu itu menjawab ‘Saya mahu mengubah SPRM’.

Pertukaran ini dilihat sebagai sebahagian daripada siri penyusunan semula organisasi yang sedang dilaksanakan sejak Dato’ Sri Abd Halim Aman mengambil alih kepimpinan SPRM.

Sebelum ini, beberapa pertukaran pegawai kanan turut diumumkan, termasuk Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang dipindahkan daripada jawatan Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), diikuti KPKPj Wong Yun Fui yang turut diarahkan bertukar ke MACA.

Rangkaian pertukaran tersebut mencerminkan usaha kepimpinan baharu SPRM untuk menyusun semula penempatan pegawai mengikut keperluan organisasi. Bagaimanapun, setakat ini SPRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengaitkan pertukaran-pertukaran tersebut dengan sebarang tindakan tatatertib atau siasatan terhadap mana-mana pegawai.

ARTIKEL LAIN

Back To Top