KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR menerima rasuah hampir RM10 juta.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata siasatan perlu dilakukan secara bebas tanpa sebarang campur tangan bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.
Beliau turut menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, tampil memberi penjelasan kepada rakyat serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dakwaan itu timbul susulan pendedahan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal “mafia korporat”, Victor Chin Boon Long, yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta wang tunai RM10 juta sebagai penyelesaian kes berkenaan.
Menurutnya, beliau pada awalnya menyediakan RM9.5 juta, namun baki RM500,000 tidak diserahkan kerana isu tersebut tidak diselesaikan.
Pendedahan itu terkandung dalam kronologi dokumen pengakuan rasuah Victor Chin Boon Long setebal 40 halaman yang memperincikan peristiwa, termasuk dakwaan wujud tekanan dan intimidasi terhadap pengurusan serta pemegang saham syarikat tersenarai bagi memaksa penjualan saham pada harga rendah seperti yang biasa dibuat oleh mafia korporat
Pada 16 Mac lalu, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Victor di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang sebagai sebahagian daripada siasatan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata identiti individu yang didakwa terlibat tidak wajar didedahkan secara terbuka sehingga disahkan melalui proses siasatan bagi mengelakkan spekulasi dan fitnah terhadap pihak tidak bersalah.
Beliau menegaskan, jika dakwaan tersebut benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus, selain mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan campur tangan politik dalam urusan korporat dan penguatkuasaan undang-undang.
PN, katanya, akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan tidak menolak untuk membawanya ke Parlimen demi memastikan akauntabiliti serta integriti dalam pentadbiran negara terus terpelihara.
