KUALA LUMPUR – Syarikat operasi milik YTL Corporation Berhad bagi pembangunan kompleks hiburan baharu di Bristol, YTL Live, secara rasmi mengumumkan pelantikan Aviva sebagai rakan penaja utama bagi arena tertutup berkapasiti 20,000 tempat duduk di bandar tersebut.
Melalui perjanjian penajaan jangka panjang itu, Aviva memperoleh hak penamaan arena berkenaan yang akan dikenali sebagai Aviva Arena sebaik sahaja ia mula beroperasi pada penghujung tahun 2028. Arena berkenaan dijangka muncul sebagai antara lokasi acara tertutup terbesar di United Kingdom dan yang pertama seumpamanya di wilayah Barat England.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa projek berimpak tinggi ini dianggarkan menarik kira-kira 1.4 juta pengunjung setiap tahun, merangkumi acara muzik antarabangsa, kejohanan sukan serta pelbagai program hiburan berskala besar.

Transformasi Tapak Ikonik Brabazon
Pembangunan tersebut melibatkan transformasi Brabazon Hangars, lokasi bersejarah yang pernah menjadi tempat kelahiran pesawat supersonik Concorde di UK. Hangar tengah — yang terbesar daripada tiga struktur utama — akan menempatkan Aviva Arena, manakala dua lagi akan menyokong pembangunan ruang persidangan, pameran serta komponen komersial lain di bawah projek bersepadu YTL Live.
Secara keseluruhan, projek ini diunjurkan menyumbang kira-kira £1 bilion kepada ekonomi Bristol dalam tempoh 10 tahun pertama operasi.
Selain itu, lebih 2,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan sepanjang fasa pembinaan, manakala sehingga 500 jawatan tetap bakal tersedia apabila arena mula beroperasi — sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial jangka panjang kepada komuniti setempat.
Arena ini dirancang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya 120 acara utama setiap tahun, meletakkannya sebagai destinasi ‘must-play arena’ bagi artis dan penganjur acara antarabangsa.
Komitmen Pelaburan Jangka Panjang
Pengerusi Eksekutif YTL Corporation, Francis Yeoh berkata kerjasama strategik bersama Aviva mencerminkan keserasian nilai kedua-dua organisasi yang memberi penekanan kepada komuniti, keterangkuman dan kelestarian.

Beliau menegaskan bahawa walaupun YTL giat mengembangkan perniagaan dalam sektor infrastruktur digital — termasuk rangkaian 5G, pusat data kecerdasan buatan hasil kerjasama dengan Nvidia serta pelancaran bank digital berasaskan AI — kumpulan itu kekal komited terhadap pembangunan fizikal jangka panjang.
Menurutnya, pembelian Lapangan Terbang Filton yang tidak lagi digunakan pada tahun 2015 merupakan langkah strategik yang sejajar dengan pengalaman YTL membangunkan semula tapak terbiar di Asia menjadi komuniti moden dan mampan.
Tambah beliau, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut melancarkan pelan induk semakan pembangunan Brabazon New Town, dan YTL komited untuk melabur sekitar £4 bilion di United Kingdom dalam tempoh lima tahun, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pelabur Malaysia terbesar di negara tersebut.
Kerja-kerja perobohan di tapak berkenaan telah selesai, manakala pembinaan kini dilaksanakan oleh YTL Construction UK dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2028.
