KUALA LUMPUR — Disebalik kontroversi pengambilalihan IJM Corporation oleh Sunway Group, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus memperkukuh pengaruhnya dalam IJM Corporation Bhd apabila meningkatkan pegangan saham kepada 20.4 peratus, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar syarikat pembinaan tersebut.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, dana persaraan itu mendedahkan bahawa sebanyak 4.07 juta saham diperoleh menerusi tiga transaksi pada 3 Februari, menjadikan jumlah keseluruhan pegangan meningkat kepada kira-kira 714.91 juta saham.
Langkah agresif itu dilihat sebahagian daripada strategi pengumpulan berterusan KWSP, yang dilaporkan telah membeli hampir 60 juta saham IJM melalui beberapa urus niaga sejak Sunway Bhd melancarkan tawaran am sukarela terhadap syarikat berkenaan pada 12 Januari lalu.
Secara keseluruhan, pegangan KWSP meningkat sekitar 1.69 mata peratusan berbanding kedudukan awalnya sebanyak 18.7 peratus, mencerminkan keyakinan institusi tersebut terhadap prospek jangka panjang IJM di tengah-tengah dinamika korporat yang semakin hangat dalam sektor pembinaan.
Peningkatan pegangan oleh pelabur institusi utama seperti KWSP lazimnya ditafsirkan pasaran sebagai isyarat sokongan terhadap asas perniagaan syarikat, selain berpotensi mempengaruhi hala tuju pemilikan sekiranya proses pengambilalihan atau penstrukturan berlaku pada masa hadapan.
KWSP dilihat sebagai kartel terbesar dalam pegangan saham sebuah Syarikat. KWSP juga baru-baru ini menambah pegangan dalam Sunway Group disebalik cadangan pengambilalihan IJM Corp oleh Sunway. Tambahan pegangan saham IJM mungkin boleh membantu mengelakkan kejatuhan harga sekarang
