KUALA LUMPUR — Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengesahkan bahawa pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung Tawaran Am Sukarela (VGO) oleh Sunway Berhad untuk mengambil alih kepentingannya dalam IJM Corporation Berhad, sambil menegaskan bahawa sebarang keputusan akan berpandukan pertimbangan komersial serta pulangan pelaburan jangka panjang.
Dalam kenyataan kepada Bernama, PNB memaklumkan bahawa tawaran tersebut akan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira beberapa faktor utama, termasuk potensi pulangan berdasarkan nilai intrinsik IJM, prospek pertumbuhan masa hadapan, komponen tunai yang ditawarkan serta anggaran nilai jangka panjang bagi pertukaran saham.
“Dokumen tawaran baru sahaja diedarkan oleh Sunway kepada semua pemegang saham IJM, manakala penasihat bebas yang dilantik oleh lembaga pengarah IJM dijangka mengemukakan syor mereka selewat-lewatnya pada 16 Mac 2026.
“Tawaran itu pula dibuka untuk penerimaan sehingga 6 April 2026 atau tarikh lain yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib,” menurut kenyataan itu.
PNB menjawab pertanyaan susulan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menjelaskan di Parlimen mengenai cadangan pengambilalihan tersebut serta kedudukan PNB sebagai pemegang saham minoriti.
PNB menegaskan bahawa pegangan semasanya dalam IJM adalah kurang daripada 13.5 peratus, sekali gus tidak memberikan pengaruh untuk menentukan keputusan akhir tawaran berkenaan, yang hanya akan berjaya sekiranya lebih daripada 50 peratus pemegang saham menerima tawaran tersebut.
“Cadangan VGO ini akan melalui penilaian dalaman yang komprehensif sebelum dipertimbangkan untuk keputusan muktamad oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah PNB.
“Langkah ini selaras dengan rangka kerja pelaburan PNB yang ketat, berteraskan disiplin fidusiari dan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang demi manfaat semua pemegang unit,” jelasnya.
PNB Tiada Kawalan Terhadap Keputusan Korporat IJM
Ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat, Fadillah turut menegaskan bahawa PNB tidak mempunyai pengaruh terhadap sebarang keputusan korporat IJM, termasuk di tengah dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan syarikat itu.
“PNB hanyalah pemegang saham minoriti dengan pegangan kurang daripada 13.5 peratus, justeru tidak berkeupayaan menentukan hala tuju strategik atau keputusan korporat IJM,” katanya. Fadillah juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Beliau menjelaskan bahawa tawaran oleh Sunway merupakan tawaran am sukarela yang diberikan secara sama rata kepada semua pemegang saham dan bukannya urus niaga yang dirundingkan dengan mana-mana pihak tertentu.
“Tawaran ini tidak disasarkan kepada PNB atau mana-mana institusi lain. Malah, mana-mana pihak yang berminat bebas mengemukakan tawaran alternatif yang lebih kompetitif,” katanya, sambil menambah bahawa setiap pemegang saham bertanggungjawab menilai tawaran tersebut secara individu — selaras dengan amalan biasa pasaran modal.
Dalam pada itu, Fadillah menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikatakan berkaitan IJM Corp dan Sunway Bhd.
Menurut beliau, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang memberi tumpuan kepada dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion yang dikaitkan dengan IJM serta telah mengenal pasti seorang anggota pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri bersama seorang penasihat korporat sebagai individu berkepentingan dalam siasatan.
Untuk rekod rekod KWSP merupakan pemegang saham institusi terbesar dalam IJM Corporation iaitu
dengan pegangan sebanyak 18.4 peratus, diikuti oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memiliki 14.6 peratus saham. Turut tersenarai ialah Kementerian Kewangan (MOF) dengan pegangan 2.84 peratus, manakala Lembaga Tabung Haji memegang sekitar 1.98 peratus. Secara keseluruhan, institusi kerajaan dan GLC menguasai kira-kira 37.82 peratus ekuiti IJM, sekali gus mencerminkan kepentingan dana awam dalam struktur pemilikan syarikat pembinaan dan infrastruktur utama negara itu

