Rider Gate Dilantik Sebagai Ejen Kutipan JPJ

Ramssol Group Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan sebagai ejen kutipan yang diberi kuasa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat Malaysia kini boleh mengakses platform perkhidmatan yang digital sepenuhnya, mudah dan selamat untuk transaksi penting JPJ termasuk pembaharuan lesen kenderaan bermotor, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi.

Sistem itu juga menyediakan pelaporan secara masa nyata kepada JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya.

“Kerjasama ini meletakkan Ramssol di barisan hadapan transformasi digital negara dalam sektor pengangkutan dan kami bersedia sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai, inovatif dan berpusatkan kepenggunaan kepada orang ramai,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Ramssol, Datuk Wira Cllement Tan.

Pada masa hadapan, Ramssol merancang untuk terus memperkukuh rangkaian teknologinya, melabur dalam penambahbaikan platform termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI) dan meneroka kerjasama strategik yang dapat meningkatkan lagi pengalaman pengguna dan menggalakkan penerimaan platform itu.

Kumpulan itu menambah bahawa ia kekal fokus untuk mengembangkan portfolio penyelesaian digitalnya dalam bidang-bidang yang mengutamakan kebolehpercayaan dan tadbir urus data.

Back To Top