Vantris Energy Bhd menegaskan syarikat itu bukan subjek sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan terhadapnya atau mana-mana pengarah serta pegawai semasa.

Vantris Energy, yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, berkata ia merujuk kepada pengumuman SPRM berhubung rancangan pelucuthakan wang yang dikaitkan dengan kumpulan itu, didakwa disalahgunakan oleh pihak tertentu pada 2018.
“Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan, rakan kongsi dan pemegang kepentingan bahawa operasi serta aktiviti kewangan kami, termasuk akses kepada aset dan akaun bank, kekal tidak terjejas,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Menurut syarikat itu lagi, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sebelum ini dan kekal bersedia memberi bantuan lanjut jika diperlukan.

Vantris Energy turut menegaskan ia mengamalkan dasar antirasuah dan antikorupsi yang ketat, disokong kawalan dalaman serta prosedur untuk mengurus dan mengurangkan risiko dengan berkesan.
“Sebagai syarikat senaraian awam, kami komited mengekalkan piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang tinggi di semua peringkat organisasi,” jelasnya.
Pada Selasa lalu, SPRM memaklumkan akan melaksanakan pemulihan wang berjumlah RM12 juta yang dipercayai berkaitan dengan dua kes membabitkan Sapura Energy. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata proses itu dilaksanakan dengan kelulusan timbalan pendakwa raya.