Titah Agong, tamatkan penyelewengan GISBH

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil”. Itulah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap kes dakwaan jenayah serta penganiayaan kanak-kanak dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Baginda memandang serius isu berkenaan kerana ia ‘perkara berkaitan akidah umat Islam, seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan’.

Titah Yang di-Pertua Agong ini adalah isyarat penting kepada pihak berkuasa khasnya PDRM, di samping Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pihak berkuasa agama Islam negeri bukan sekadar melakukan siasatan semata-mata, bahkan mengambil tindakan sewajarnya terhadap GISBH jika terbukti benar terbabit jenayah terancang.

Penderaan anak -anak GISB

PDRM, JAKIM berserta pihak berkuasa agama negeri mungkin perlu bertindak tegas seperti ketika menangani kes penyelewengan Pertubuhan Al-Arqam sekitar 1990-an yang taasub dengan fahaman Aurad Muhammadiah. Al-Arqam diharamkan kerajaan pada 1994 selepas didapati mengamalkan ajaran sesat termasuk mempercayai ketuanya, Ashaari Muhammad sebagai pemimpin akhir zaman.

Kerajaan turut mengambil tindakan tegas terhadap bekas pengikut Al-Arqam termasuk balu Ashaari, Hatijah Aam selepas dikesan membawa fahaman sama pertubuhan asal kumpulan itu, tetapi bergerak menerusi jenama Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (SRC) dan Rangkaian Syarikat Gabungan pada 2013.

Ini menunjukkan bekas pengikut kumpulan Al-Arqam masih terikat dan taasub fahaman berkenaan dengan modus operasi sama, tetapi menggunakan jenama serta entiti baharu bagi melindungi kegiatan mereka. Ini yang harus disedari dan diambil tindakan segera pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kerajaan wajar merangka pelan susulan dan pemulihan jika tindakan dikenakan terhadap GISBH, termasuk menilai implikasi ekonomi serta perniagaan syarikat itu. Ini kerana model dan modul perniagaan GISBH diakui mampu mengembang dan memperkukuh ekonomi Islam kerana memiliki syarikat rangkaian di luar negara.

Boleh dikatakan GISBH mempunyai ‘wakil’ dalam banyak sektor perniagaan, perusahaan dan ekonomi di dalam serta luar negara. Sekiranya kumpulan ini dikenakan tindakan, ia dibimbangi meruntuhkan empayar perniagaan Melayu Islam, sekali gus merugikan orang Islam.

Di sebalik ketegasan pihak berkuasa memadamkan ajaran bertentangan ajaran Islam dan undang-undang, sisi positif dimiliki GISBH dalam melestarikan perniagaannya wajar dimanfaatkan kerajaan bagi mengangkat martabat perniagaan dan usahawan Melayu Islam supaya tidak berlaku ‘pembaziran’ formula serta sumber bernilai.

Back To Top