Satu lagi syarikat gergasi teknologi bertaraf unicorn kini rebah menyembah bumi apabila didedahkan bahawa platform kecerdasan buatan (AI) popular, Builder.ai, yang disokong oleh gergasi Microsoft, rupa-rupanya tidak lebih dari sekadar helah teknologi dan angka palsu.
Bermula dengan janji manis untuk “membina aplikasi semudah memesan pizza”, syarikat yang diasaskan pada 2016 oleh Sachin Dev Duggal itu kini berdepan pelbagai dakwaan berat – termasuk penipuan AI, laporan kewangan mengelirukan, dan ‘sales palsu’ berjuta dolar.

“Apa yang dikatakan sebagai sistem AI pintar, sebenarnya hanyalah kerja keras 700 jurutera di India,” dedah bekas kakitangan kepada media antarabangsa.
Malah, dokumen dalaman menunjukkan Builder.ai memalsukan data jualan dengan syarikat lain seperti VerSe Innovation (pemilik Dailyhunt) untuk mewujudkan gambaran pertumbuhan yang ‘meletup’, kononnya menarik pelabur besar seperti Microsoft dan dana kekayaan Qatar.
Hutang Menimbun, Kantung Kosong
Menurut laporan Financial Times dan WSJ, Builder.ai gagal membayar hutang berjumlah lebih RM170 juta kepada pemberi pinjaman antarabangsa. Akibatnya, syarikat disita asetnya dan kini menjalani proses muflis di lima negara, termasuk UK dan India.
“Kami sangka ini platform AI termaju… rupa-rupanya cuma manusia yang menyamar sebagai mesin,” – pelanggan di AS yang menuntut wang dikembalikan.

Microsoft Terkedu, FBI Mula Siasat
Lebih mengejutkan, Microsoft sendiri masih berhutang lebih RM140 juta untuk perkhidmatan awan yang digunakan Builder.ai – tetapi tidak sedar amalan di sebalik tabir selama ini.
Kini, siasatan oleh pihak berkuasa termasuk FBI dan Peguam Negara AS sedang dijalankan. Pihak terbabit menyasarkan pengasas dan beberapa eksekutif kanan atas dakwaan penipuan pelabur dan penyata palsu.
CEO Lari, ‘Wizard’ Ambil Alih
Sachin Duggal, yang sebelum ini menjawat CEO, meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari lalu dan menukar jawatan kepada “chief wizard” – satu langkah yang dipersoalkan banyak pihak.
Di Mana AI-nya?
Builder.ai selama ini dipromosikan sebagai platform AI yang mampu membina aplikasi tanpa memerlukan kemahiran teknikal – tetapi bekas pekerja mendedahkan, sistem AI hanya membantu sebahagian kecil dan kerja sebenar dilakukan manusia di sebalik tabir.
Malah, ada laporan menyatakan Builder.ai menggunakan nama AI seperti “Natasha” dan “Studio Store” hanya sebagai ‘topeng pemasaran’ untuk menarik pelanggan.

Penutup: Pelaburan AI Perlu Hati-hati
Kejatuhan Builder.ai membuktikan bahawa hype AI boleh disalahgunakan, dan pelabur termasuk gergasi seperti Microsoft pun boleh terpedaya dengan angka dan janji manis.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam mempercayai produk atau perkhidmatan yang “terlalu bagus untuk jadi kenyataan” – apatah lagi di era AI yang sedang ‘meletup’ di seluruh dunia.
Di Malaysia, ada syarikat yang mengambil kontrak untuk menyiapkan pusat data untuk teknologi Ai dan telah terlibat dalam skandal rasuah melibatkan nilai RM7.5 juta.
Pihak berkuasa tidak membiarkan perkara ini lama, syarikat terbabit terus ditahan untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola yang cekap benar-benar diamalkan di negara ini.