Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan gesaan segelintir ahli Parlimen, Majlis Peguam dan aktivis masyarakat sivil untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelantikan badan kehakiman sebagai lucu dan sarat dengan hipokrasi politik.

Menurut beliau, histeria yang timbul kononnya Perdana Menteri akan mencabuli proses pelantikan hakim dibuat hanya atas andaian, sedangkan tiada pelanggaran sebenar yang berlaku setakat ini.
“Mereka marah atas sesuatu yang belum pun berlaku. Tapi ketika pelanggaran yang jelas terhadap Akta JAC dan Perlembagaan berlaku pada tahun 2018 dan 2019, tiada siapa bersuara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Apandi merujuk kepada laporan Pasukan Petugas Khas (STF) berkaitan dakwaan dalam buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, yang mendedahkan bagaimana pelantikan empat jawatan tertinggi kehakiman pada Julai 2018 — termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak — tidak mengikut senarai yang disyorkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Sebaliknya, dakwa beliau, pelantikan itu dibuat hasil rundingan tertutup antara Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu dan Tommy Thomas sendiri.
“Zaman kamu, semua senyap”
Mengulas lanjut, Apandi mendedahkan bahawa dalam mesyuarat JAC bertarikh 17 Januari 2019, tiga nama disyorkan: Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Ketua Hakim Negara, Datuk David Wong sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Hakim Besar Malaya.

Namun selepas permintaan Perdana Menteri untuk dua lagi nama tambahan, mesyuarat JAC pada 5 April 2019 mengemukakan nama-nama baharu termasuk Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Rohana Yusuf.
“Yang akhirnya dilantik ialah Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, Rohana sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Azahar sebagai Hakim Besar Malaya. Pada waktu itu, tiada siapa membantah walaupun Tengku Maimun ketika itu lebih junior. Sekarang baru nak bising?” katanya sinis.

Undang-undang beri budi bicara PM
Apandi menegaskan bahawa berdasarkan Seksyen 27 Akta JAC 2009, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk meminta dua nama tambahan dan membuat pilihan berdasarkan budi bicara eksekutif, termasuk untuk pelantikan jawatan tertinggi kehakiman.
Tambah beliau, Mahkamah sendiri sebelum ini — menerusi kenyataan tokoh seperti mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Datuk Mah Weng Kwai — telah mengesahkan bahawa Perdana Menteri tidak terikat menerima cadangan JAC kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.
Kritik selektif dan hipokrasi politik
Apandi turut menyelar tindakan beberapa peguam yang secara terbuka menyokong calon tertentu bagi jawatan Ketua Hakim Negara, menyifatkan ia sebagai tindakan yang menjejaskan tuntutan ketelusan dan prinsip pemisahan kuasa yang mereka sendiri laungkan.
“Ini bukan soal prinsip perundangan. Ini permainan kuasa, kepentingan peribadi dan hipokrasi politik. Jika benar mereka mahu reformasi, kenapa diam ketika pelanggaran nyata dahulu berlaku?”
Beliau menyimpulkan bahawa undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan naratif politik pihak tertentu.