Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan salah guna kuasa dalam isu mempercepatkan pengesahan taraf warganegara terus melebar apabila Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Dalam Negeri, Mohd Khairul Nizam bin Jamalus, dipanggil memberi keterangan semalam.
Menurut sumber yang mengetahui perkembangan siasatan, kehadiran Khairul Nizam ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya merupakan sebahagian daripada siasatan lanjutan Op Outlander — satu operasi khas yang dilancarkan SPRM sejak awal tahun ini bagi membanteras aktiviti sindiket mempercepatkan permohonan warganegara secara tidak sah. SUSK setakat ini tidak direman.

Difahamkan, selain Khairul Nizam, Aizuddin Abd Gaffal, Pegawai Tugas-Tugas Khas III (bekas SUSK kepada menteri) dan Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, bekas Setiausaha Akhbar (SUA) turut tersenarai untuk dipanggil SPRM dalam masa terdekat. Aizuddin terkenal dengan gaya mewah dan memiliki butik sendiri. Zakwan pula memang pegawai kontroversi sejak awal bersama Saifuddin. Banyak laporan dan aduan mengenai Zakwan diportal-portal tempatan mengenai ‘kaki pau’ dan ‘kaki golf’.

Penahanan tiga pegawai KDN sebelum ini
Panggilan terhadap Khairul Nizam dibuat susulan penahanan tiga pegawai kanan KDN dalam operasi SPRM pada 8 Mei 2025 lalu iaitu Haji Johari bin Kassim, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Syed Mahadi bin Syed Hassan, Pegawai Tugas-Tugas Khas (Gred 52 (T) dan Zara binti Zahari, Setiausaha Sulit (Gred N36)

Mereka disyaki menerima suapan daripada pihak luar sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia — satu urusan yang dikawal rapi oleh kerajaan.
Siasatan bawah Seksyen 17(a)
Sumber turut memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Op Outlander dilaporkan tercetus selepas pendedahan dalaman mengenai kewujudan sindiket yang mengenakan bayaran antara RM80,000 hingga RM120,000 bagi setiap permohonan warganegara yang dijanjikan kelulusan ekspres.
KDN belum beri kenyataan rasmi
Sehingga kini, Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi susulan perkembangan terbaru siasatan tersebut.

Namun, dalam kenyataan terdahulu pada Mei lalu, wakil kementerian memberi jaminan bahawa KDN akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan tidak akan mengganggu mana-mana proses siasatan yang sedang berlangsung.
Laporan lanjut akan dikemaskini selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh SPRM atau KDN.