
Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebuah Range Rover Sport daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor, 10 tahun lalu.
Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa secara rasuah menerima satu suapan, iaitu kenderaan Range Rover Sport nombor pendaftaran MCR 2 daripada pengarah syarikat lain bergelar datuk.
Ia sebagai dorongan untuk menganugerahkan kepada syarikat terbabit kerja-kerja subkontraktor ‘mengekstrak, mengangkut dan memunggah pasir laut di kawasan simpanan ditetapkan berhubung kerja penambakan Pantai di Melaka’ yang dinilai pada kadar RM6.50 bagi setiap meter kubik pasir laut, bagi projek ‘Cadangan Menambak Laut Dan Semua Kerja Berkaitan seluas 89.03 hektar di Kota Laksamana’
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Taman Kota Syahbandar, dekat sini pada Jun 2015.
Mohamad Ali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan Mohamad Ali telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Jun lalu atas 20 pertuduhan rasuah dan dibenarkan jaminan RM60,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Katanya, pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi kes hari ini dan mencadangkan mahkamah mengguna pakai syarat dan jaminan seperti diputuskan di Mahkamah Shah Alam.
“Pendakwaan juga akan memfailkan permohonan pada tarikh sebutan 27 Julai depan di Mahkamah Shah Alam supaya semua kes di sana dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 1 di Melaka untuk dibicarakan bersama.
“Tarikh sebutan baharu ditetapkan selepas tarikh itu,” katanya.

Peguam Md Yunos Shariff mengesahkan jaminan dan syarat berkenaan serta tidak membantah cadangan pendakwaan untuk perbicaraan bersama kes di Mahkamah Shah Alam dan Melaka.
Hakim Elesabet Paya Wan kemudian membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pada 18 Jun lalu, Mohamad Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.