Kerajaan menyasarkan kutipan tambahan sekitar RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai langkah memperkukuh kedudukan fiskal negara, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Datuk Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, langkah itu penting untuk memastikan perbelanjaan sosial dan pembangunan kekal mampan dalam jangka panjang, sekali gus menangani peningkatan permintaan terhadap perbelanjaan kerajaan setiap tahun.
“Daripada bantuan tunai, penjagaan kesihatan, pendidikan hingga penyelenggaraan infrastruktur, semua ini memerlukan sumber yang kukuh. Maka, kerajaan perlu memperluas asas cukai tanpa membebankan rakyat secara tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Fireside Chat 3: Social Safety Nets – Securing the Future sempena Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Johan menjelaskan, asas cukai negara ketika ini berada pada paras 12.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang terendah di rantau ini. Oleh itu, peluasan SST menjadi antara langkah utama dalam strategi reformasi fiskal Kerajaan MADANI.
Menurutnya, langkah itu dilaksanakan secara berperingkat dan bersasar bagi meminimumkan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Barangan keperluan asas kekal dikecualikan atau dikenakan kadar SST yang rendah, manakala perkhidmatan dinikmati golongan berpendapatan tinggi dan sektor korporat menjadi tumpuan utama peluasan ini,” katanya.
Antara perkhidmatan yang dikenakan SST termasuk yuran pengurusan dana, bank pelaburan dan perkhidmatan komersial tertentu, manakala perkhidmatan asas seperti pinjaman perumahan, akaun semasa dan pembinaan kediaman dikecualikan.
Johan berkata, penilaian turut dilakukan menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi menganggar impak terhadap inflasi.
“Unjuran dalaman menunjukkan kesan inflasi daripada peluasan ini adalah sederhana dan terkawal, iaitu sekitar 0.2 hingga 0.25 peratus sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan, langkah itu sebahagian daripada pelan reformasi fiskal nasional, termasuk rasionalisasi subsidi dan usaha menangani ketirisan perbelanjaan.

Katanya, kerajaan komited untuk mengekalkan bantuan tunai yang lebih menyeluruh dan bersasar, dengan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM13 bilion tahun ini, termasuk peluasan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“SARA membolehkan penerima menggunakan kredit RM100 sebulan untuk membeli barangan keperluan. Ini penting supaya bantuan sampai kepada golongan sasar, bukan dibelanjakan untuk tujuan lain,” jelasnya.
Setakat ini, hampir 60 peratus isi rumah di Malaysia menerima STR, menjadikannya antara program bantuan sosial terbesar negara.
Mengulas isu cukai ke atas barangan import seperti buah-buahan, Johan berkata, kerajaan tetap menilai corak perbelanjaan rakyat dan memastikan sebarang keputusan dasar dibuat dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang.
“Kita tidak boleh puaskan semua pihak dalam setiap keputusan. Namun, prinsip asas kita adalah meningkatkan hasil secara progresif, sambil melindungi rakyat biasa,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan juga mengekalkan subsidi bersasar, seperti dalam tarif elektrik dan diesel, di mana isi rumah berpendapatan rendah terus menikmati harga subsidi manakala penggunaan besar dikenakan kadar lebih hampir kepada pasaran.
Menurutnya, kerajaan membelanjakan sekitar RM50 bilion tahun lalu untuk subsidi dan bantuan tunai, sebahagian besarnya melibatkan kos bahan api dan sokongan kepada rakyat.
Tanpa langkah seperti peluasan SST dan rasionalisasi subsidi, katanya, adalah sukar untuk mencapai sasaran menurunkan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus dalam beberapa tahun akan datang.
“Kita perlu ada ruang fiskal yang cukup untuk menghadapi sebarang kejutan ekonomi pada masa hadapan. Hasil tambahan ini penting sebagai penampan fiskal negara,” katanya.
Mengulas cadangan pelaksanaan cukai kekayaan sebagai alternatif, Johan menjelaskan bahawa dari segi pelaksanaan, ia adalah lebih rumit berbanding cukai pendapatan atau cukai penggunaan.
“Cukai kekayaan memang kelihatan menarik dari sudut teori, tetapi pelaksanaannya sukar kerana penilaian aset tidak semudah menentukan pendapatan atau perbelanjaan,” katanya.