Alif Teega Dan Isteri Didakwa Salah Guna Wang Derma lebih RM 1.6 Juta

KUALA LUMPUR — Pempengaruh Mohd Hazalif Mohd Hazani dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 10 pertuduhan salah guna wang derma bernilai lebih RM1.6 juta.

Hazalif yang dikenali sebagai Alif Teega, 30, dan Aisyah Hijanah, 26, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, lapor Buletin TV3.

Mengikut pertuduhan, Hazalif dan Aisyah Hijanah didakwa secara bersama-sama menyalahgunakan wang derma untuk pelbagai tujuan.

Wang derma itu adalah bagi tujuan projek infaq kurma, infaq al-Quran di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, infaq pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, infaq bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dan sedekah set pakaian raya buat anak yatim.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza, antara Mei 2011 hingga Julai 2024.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 setiap seorang, dengan seorang penjamin dengan syarat serahan pasport, dan lapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 27 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Pada 20 Sept lalu, Hazalif juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM63,605 termasuk untuk program berbuka puasa di Makkah, Syria dan Palestin.

Back To Top