Sime Darby Property Bhd Lancar Projek Hartanah RM3.3 Billion

Sime Darby Property Bhd merancang untuk melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3.3 bilion baki tahun kewangan 2025 membabitkan 3,044 unit yang merangkumi pelbagai segmen hartanah.

Daripada jumlah itu, projek kediaman bertingkat tinggi menyumbang bahagian terbesar (33 peratus), diikuti hartanah industri (30 peratus), kediaman bertanah (26 peratus) dan hartanah komersial (11 peratus).

Projek terbabit merupakan sebahagian daripada sasaran pelancaran tahunan kumpulan dengan GDV berjumlah RM4 bilion.

Pemaju hartanah itu menyasarkan jualan tahunan sebanyak RM3.6 bilion untuk tahun kewangan ini, sejajar dengan momentum berterusan dalam portfolio produk yang pelbagai.

Pada suku pertama tahun kewangan 2025, Sime Darby Property mencatatkan prestasi yang memberangsangkan apabila merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.4 juta, menandakan permulaan yang kukuh bagi tahun ini susulan prestasi cemerlang pada tahun kewangan 2024.

Ia turut mencatatkan hasil keseluruhan sebanyak RM871.6 juta, keuntungan operasi (OP) sebanyak RM189.1 juta, dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM179.6 juta, dengan margin OP dan PBT masing-masing meningkat kepada 22 peratus dan 21 peratus.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, berkata syarikat telah

merangka satu pencapaian yang memberangsangkan sebagai permulaan tahun ini.

“Tahun kewangan 2025 bermula dengan kukuh, meneruskan prestasi cemerlang tahun lalu. Keputusan suku ini didorong oleh penambahbaikan margin, momentum jualan yang memberangsangkan serta sumbangan semakin meningkat daripada segmen pelaburan & pengurusan aset (IAM),” katanya.

Sime Darby Property mencatatkan jualan berjumlah RM927.5 juta sepanjang suku pertama, iaitu 26 peratus daripada sasaran tahunan RM3.6 bilion.

Produk industri menyumbang separuh daripada angka itu dengan RM461.5 juta iaitu sebanyak 50 peratus, diikuti kediaman bertingkat tinggi RM246.3 juta (27 peratus), kediaman bertanah RM127.9 juta (14 peratus) dan produk komersial RM65.3 juta (tujuh peratus).

Sebanyak 61 peratus daripada jualan diperoleh daripada pelancaran baharu berjumlah RM564.66 juta), didorong oleh produk perindustrian Elmina Business Park dan Serenia Industrial Park.

Sebahagian daripada hasil 61 peratus itu juga diraih daripada pembangunan bertingkat tinggi seperti The Reya (Taman Melawati), Ophera (KLGCC Resort), dan Kanopi Residences (Bandar Elmina).

Syarikat turut melancarkan hartanah dengan GDV sebanyak RM656.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025 yang terdiri daripada 38 peratus kediaman bertanah (RM252.1 juta), 32 peratus perindustrian (RM209.5 juta), dan 30 peratus komersial (RM194.9 juta).

GDV belum terjual bagi inventori siap kekal rendah pada RM227.2 juta, manakala baki tunai syarikat kekal kukuh pada RM714.4 juta.

Nisbah hutang bersih syarikat juga berada pada paras sihat 27.9 peratus setakat 31 Mac 2025, mencerminkan kedudukan modal yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan.

Back To Top