Kuala Lumpur -Sesi penyampaian hadiah bagi Pertandingan Replika Tren sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia 2024 anjuran bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan YTL Construction berlangsung meriah di Galeri KTMB baru-baru ini.
Pertandingan yang telah berjaya menarik lebih daripada 30 penyertaan sejak ia dibuka pada 14 Ogos 2024 itu bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan amalan lestari dengan mewujudkan tren replika daripada barangan kitar semula.
Para peserta diberi cabaran untuk mencipta replika tren yang menggabungkan unsur kreativiti, inovasi, dan keprihatinan terhadap alam sekitar. Program ini selari dengan usaha memperkasakan nilai cintakan negara serta kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam dalam pembangunan infrastruktur negara.
Menurut Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin, Pertandingan ini bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, malah turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali sejarah dan peranan KTMB dalam pembangunan negara.”
Turut hadir memberi sokongan adalah Puan Mutiara Zainal Farid, Pengurus Besar Bahagian Tanah, YTL Construction. Beliau menyatakan bahawa usaha ini juga mencerminkan komitmen YTL Construction terhadap tanggungjawab sosial korporat, terutamanya dalam aspek kelestarian dan pendidikan masyarakat.
“Kami berharap program seperti ini dapat memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menghargai sumber alam dan menggunakannya secara kreatif,” ujar beliau.
Pertandingan ini memperlihatkan keunikan dalam setiap replika tren yang dihasilkan, yang terdiri daripada pelbagai bahan terpakai seperti botol plastik, kertas, dan tin aluminium. Hasil kreatif ini bukan sahaja menonjolkan keupayaan peserta dalam seni kitar semula, tetapi juga menyampaikan mesej penting mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Acara tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang yang telah menunjukkan karya paling kreatif dan inovatif.
Melalui program sebegini, KTMB dan YTL Construction berharap dapat terus menggalakkan kesedaran dan semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia, selaras dengan semangat kemerdekaan yang disambut setiap tahun.
Pertandingan Replika Tren ini mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memastikan rakyat Malaysia tidak lupa akan kepentingan sejarah, kelestarian, dan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang.