Penutupan kilang tayar antarabangsa di Malaysia mencerminkan realiti pahit persaingan ekonomi global yang memerlukan tindak balas bijak, demikian menurut penganalisis.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata walaupun kehilangan kilang konvensional memberi kesan jangka pendek, perkembangan itu juga membuka ruang untuk transformasi industri ke arah ekonomi bernilai tinggi.
Katanya, kejayaan Malaysia bergantung pada kemampuan memanfaatkan aset sedia ada sambil mempercepat adaptasi kepada trend teknologi dan permintaan pasaran baharu.
“Pelaburan baharu bernilai RM2.3 bilion dari syarikat China seperti Shandong Linglong di Kedah Rubber City membuktikan Malaysia masih relevan sebagai hab getah global, khususnya dalam segmen pengeluaran nilai tambah tinggi.
“Kelebihan geostrategik negara sebagai pusat logistik ASEAN, ditambah dengan rangkaian infrastruktur getah yang lengkap dari ladang ke kilang, memberikan kelebihan berbanding pesaing serantau,” katanya kepada BH.
Mohamad Khair berkata, penutupan kilang tayar global di Malaysia adalah fenomena yang perlu diteliti dari lensa ekonomi politik antarabangsa dan daya saing negara.
Beliau berkata, sebagai pengeluar getah asli kelima terbesar dunia, Malaysia tidak terlepas daripada kesan domino akibat perubahan strategi korporat multinasional.
“Industri getah negara, yang menyumbang 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kini berdepan tekanan dua hala iaitu kemerosotan permintaan global terhadap getah asli untuk tayar konvensional dan pelaburan baharu dalam teknologi tinggi masih belum mencapai skala yang mampu mengimbangi kehilangan tersebut,” katanya.

Mohamad Khair menjelaskan, punca utama penutupan kilang ini berkait rapat dengan transformasi struktur industri automotif global.
Katanya, syarikat seperti Continental dan Goodyear sedang beralih ke pengeluaran tayar khusus untuk kenderaan elektrik (EV) yang memerlukan komposisi bahan berbeza, selain menghadapi persaingan harga sengit daripada pengeluar China seperti Sailun Tire yang menguasai 35 peratus pasaran global.
Menurutnya, kilang di Malaysia yang dibina antara 1970-an hingga 1990-an kurang bersedia dari segi teknologi berbanding kemudahan baharu di Thailand atau China yang dilengkapi automasi penuh dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui.
“Sebagai contoh, kilang Continental di Rayong, Thailand, mampu mengurangkan kos tenaga sebanyak 40 peratus melalui panel solar berbanding operasi di Malaysia yang masih bergantung pada grid elektrik konvensional.
“Dari sudut ekonomi domestik, kenaikan kos operasi menjadi faktor kritikal. Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 menjadikan kos buruh di Malaysia 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding Indonesia dan Vietnam.
Pengeluar tayar dari Jerman, Continental baru-baru ini mengumumkan akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilangnya di Alor Setar, Kedah menjelang hujung tahun ini.
Kemudahan pengeluaran itu mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan bagi pasaran Asia-Pasifik, serta tayar motosikal. Seramai 950 orang bekerja di kemudahan Alor Setar.
Pada 7 Mac 2024, Goodyear Tire and Rubber Company, pengeluar tayar terkemuka dari Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penutupan operasi di negara ini bermula 30 Jun 2024 dan selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun lalu.
Keputusan perniagaan yang menjejaskan kira-kira 550 pekerja itu diumumkan Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang.
Menurutnya, Goodyear dalam usaha mengurangkan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025 bagi memastikan jenama itu kekal berdaya saing dan menjadi peneraju industri.
Sementara itu, Silverstone Malaysia Bhd turut menutup operasinya di Taiping Perak pada Jun 2021 yang menjejaskan sekitar 700 pekerja.
Punca penutupan adalah keputusan syarikat induk, Toyo Tire Corporation dari Jepun, sebagai sebahagian daripada strategi global untuk mengoptimumkan operasi dan kapasiti pengeluaran.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata penutupan operasi syarikat pengeluar tayar antarabangsa di Malaysia adalah bersifat komersial bagi memastikan kelangsungan syarikat dari segi keuntungan.
Beliau berkata, faktor seperti persaingan, kos operasi, kos bahan mentah, kos buruh serta serta perubahan teknologi boleh menyumbang kepada prestasi jualan dan keuntungan.