
Ramai orang tahu kem-kem yang berada dalam PKR. Kem antara Rafizi dan Saiffuddin paling ketara sama sekali. Perpecahan dalaman PKR tidak akan tercetus selagi persaingan merebut jawatan dilaksanakan dalam suasana harmoni dan bersifat kekeluargaan.
Penganalisis sosio politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata bagi perebutan jawatan timbalan presiden, Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu berjiwa besar dan benar-benar mempraktikkan pendekatan pertandingan ‘adik beradik’.
“Yang banyak tewas berkait rapat dengan Rafizi dan walaupun belum ada calon menentang Timbalan Presiden, namun kita berasakan Saifuddin Nasution akan mencabar Rafizi.
“Melalui perkembangan ini, ia memberi impak siapa seharusnya menjadi timbalan, sekali gus memberi cabaran buat Rafizi. Ini isyarat paling menarik,” katanya kepada BH, hari ini.
‘Seteru’ antara Saifuddin dan Rafizi dilihat pada pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025 yang menyaksikan Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu tewas di tangan Ahli Parlimen Pandan ketika merebut jawatan nombor dua parti.
Pada masa sama, Azmi berkata, dengan tewasnya beberapa nama besar di peringkat cabang, situasi itu memberi impak pada PKR yang perlu peka terhadap keinginan ahli cabang yang mahukan sesuatu berbeza.
Beliau pasti, kekalahan nama besar termasuk mereka yang mempunyai jawatan dalam Kabinet bukan kerana prestasi mereka sebagai menteri atau timbalan menteri tidak memberangsangkan, namun ia mungkin kerana adanya jurang dengan ahli di kawasan.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri bahawa rombakan Kabinet tidak akan dibuat walaupun terdapat barisan menteri dalam PKR yang ‘tumbang’ di peringkat cabang, Azmi berkata, langkah itu mungkin boleh dibuat jika mereka tewas bagi merebut jawatan di peringkat nasional.
“Perlu difikirkan (rombakan Kabinet) jika mereka tewas di peringkat pusat nanti kerana mereka dilantik dalam Kabinet disebabkan jawatan dalam parti.
“Namun senario di peringkat cabang adalah berlainan dengan politik di peringkat nasional. Tidak semestinya tewas di cabang berdepan kesukaran di peringkat pusat,” katanya.
Antara pemimpin yang dikaitkan dengan Rafizi ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. Kedua-duanya tewas dengan majoriti tipis.
Selain itu beberapa pemimpin yang didakwa kem Rafizi yang tewas ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik di cabang Balik Pulau; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (Petaling Jaya) dan Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran (Segamat).
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian turut mengakui kewujudan dilema sama ada akan ada pemimpin yang muncul untuk menyaingi kedudukan Rafizi di kerusi timbalan presiden parti.
“Ini kerana sesiapa yang menjawat jawatan timbalan presiden dijangka akan diputuskan sebagai pengganti Anwar kerana ini juga penggal terakhir beliau sebagai presiden,” katanya.
Namun nasihat Sivamurugan adalah supaya barisan pemimpin yang tewas perlu akur demi kelangsungan masa depan parti tanpa mewujudkan sabotaj, memulau atau mengaibkan mana-mana pemimpin.
Beliau berkata, tindakan itu berisiko mencetuskan polemik sewaktu pemilihan jawatan tinggi PKR dan yang paling merisaukan pola pengundian terbabit boleh memberi impak kepada pemilihan bagi kedudukan lain dalam parti.
Sivamurugan tidak menolak kemungkinan wujudnya jurang komunikasi antara pemimpin utama dengan akar umbi, berdasarkan hasil keputusan di peringkat cabang ini.
Beliau berkata, adalah penting bagi PKR meneliti semula sebab wujudnya pola pengundian seperti itu, apatah lagi jurang undi yang agak ketara.
“Ketua cabang dan jawatankuasa dari pasukan berbeza menunjukkan keinginan ahli yang ‘rentas generasi’ dengan kemahuan, keinginan dan pemikiran yang berbeza berbanding dengan generasi otai reformasi, generasi 2008, generasi 2018 dan generasi mutakhir.
“PKR adalah parti yang menekankan ideologi politik. Kekalahan pemimpin induk adalah tamparan kepada parti dan suatu petunjuk untuk bangkit dengan keazaman, motivasi dan kelangsungan politik siasah baharu sebagai pemerintah kerajaan hari ini.
“Walaupun begitu, ini juga lambang demokrasi, kebebasan dan cabang untuk meraikan kepelbagaian sokongan dalam parti,” katanya.
Beliau berkata, dengan isyarat ini, kepemimpinan parti tidak boleh selesa dengan jawatan dalam kerajaan sebaliknya mereka perlu berdamping dan berpegang kepada komitmen parti yang tegas dengan idealisme kepartian sebagaimana presiden selalu katakan ‘membujur lalu, melintang patah’.
Sivamurugan berkata, mengenai rombakan Kabinet, situasi beberapa menteri yang tiada jawatan di parti adalah situasi yang pernah berlaku sebelum ini.