Pada 9 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, pemegang konsesi interim Menara KL, untuk menghalang penganugerahan konsesi kepada anak syarikat Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital), iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSH).
Walaupun keputusan tersebut berpihak kepada LSH, ia tidak menghalang Majlis Pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 yang dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang menampilkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk membuka kapsul masa yang telah ditanam di Menara Kuala Lumpur sejak 1 Oktober 1996.

Berdasarkan pendapat ramai, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, Pengarah Hydroshoppe, telah menjadikan Menara KL sebagai pejabat kedua untuk Perikatan Nasional. Menara KL, yang sepatutnya menjadi mercu tanda kebanggaan negara, kini dilihat sebagai tempat pesta yang seolah-olah dimiliki sepenuhnya oleh beliau. Ini adalah lebih memalukan apabila Datuk Abdul Hamid kini sedang menghadapi tuduhan rasuah, di mana beliau didakwa membayar RM500,000 setahun kepada Tan Ser Lay, untuk kepentingan Tan Sri Annuar Musa.
Hakim Roz Mawar Rozain, dalam keputusannya, menyatakan bahawa permohonan Hydroshoppe untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang penganugerahan konsesi baru kepada LSH tidak dapat diterima. Ini kerana perjanjian konsesi interim Hydroshoppe hanya sah sehingga 31 Mac 2025, dan setelah tarikh itu, pengoperasian Menara KL oleh Hydroshoppe akan menjadi tidak sah.

Sebelum ini, Hydroshoppe telah bertindak dengan menghalau penyewa bangunan Menara KL, termasuk pengendali restoran berputar, namun kini mereka yang telah membeli anak syarikat TM, Menara KL Sdn Bhd pada 2022, telah diusir dan digantikan dengan pengurusan baharu. Sehubungan itu, bangunan Menara KL akan ditutup buat sementara bermula 17 April 2025 untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung. Tarikh pembukaan semula Menara KL akan diumumkan melalui pelbagai saluran media.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada malam tersebut menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan, dan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan, dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur akan diambil alih sepenuhnya oleh LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM). Ini bermakna sebarang urus niaga dan pengoperasian yang dilakukan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Kementerian Komunikasi juga memaklumkan bahawa pengambilalihan konsesi tidak akan menjejaskan operasi atau pekerja di Menara KL. Rundingan bersama konsesi baharu telah memastikan operasi berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Namun, pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid yang sebelum ini mendapat sokongan dari pemimpin Perikatan Nasional serta “siber troopers”, tidak berjaya mempertahankan hak mereka atas Menara KL. Meskipun beliau cuba menggunakan sentimen kaum dan mendakwa bahawa Hydroshoppe menghalau syarikat bumiputera, ini hanya memburukkan keadaan. Hydroshoppe yang memperoleh anak syarikat TM, Menara KL Sdn Bhd pada 2022, didapati bukan sahaja tidak memiliki kepakaran untuk menguruskan Menara KL, tetapi juga mempunyai rekod buruk dalam pengurusan yang menyebabkan mereka tidak mampu bertahan lama dalam kontroversi ini.
Kini, Hydroshoppe Sdn Bhd perlu menerima kenyataan bahawa pengambilalihan Menara KL oleh LSHSM merupakan langkah yang lebih baik bagi memastikan kelangsungan dan pembangunan Menara KL sebagai salah satu ikon kebanggaan negara.