Wartawan portal Malaysiakini dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada ejen pekerja asing warga Pakistan.
Wang suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik sebarang artikel berkaitan kartel pekerja asing Pakistan di laman web Malaysiakini.
Tertuduh, B Nantha Kumar, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Saya faham pertuduhan itu dan saya tidak bersalah,” katanya daripada kandang tertuduh.
Nantha didakwa telah secara rasuah menerima daripada warga Pakistan, Muhammad Zahid, suatu suapan iaitu wang tunai sebanyak RM20,000 sebagai suatu dorongan untuk menurunkan dan tidak memuat naik mana-mana artikel berkenaan sindiket kartel pekerja asing Pakistan di liputan Malaysiakini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor pada jam 1.45 pagi pada 28 Februari lalu, mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Nantha kerana menurutnya kesalahan terbabit adalah mengikut Seksyen 16(a)(A), yang tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan dalam situasi yang sesuai bagi kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“(Jika mahkamah memberikan jaminan) pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin. Kami dengan ini menyatakan bahawa jumlah ini adalah munasabah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.
“Individu yang terbabit dalam jenayah kolar putih adalah berisiko melarikan diri, kerana hukuman penjara berat yang mereka hadapi, mungkin menghalang mereka daripada hadir ke mahkamah.
“Oleh itu, sebagai syarat tambahan, dia mesti menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.
“Dia juga mesti mengelak daripada memuat naik sebarang ulasan berkaitan kes ini, kerana ia mungkin memudaratkan dan boleh menjejaskan pembelaannya,” katanya.
Bagaimanapun, dalam rayuan bagi diringankan wang jaminan pula, peguam bela Purshotaman Puvanendran meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kepada RM5,000.
Peguam itu berkata, ia adalah kerana jumlah wang yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan adalah melampau, yang bermakna anak guamnya perlu dipenjarakan sehingga kes itu tamat.
“Tertuduh berusia 42 tahun dan sudah berkahwin dengan mempunyai dua anak perempuan, seorang berusia 18 tahun dan menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia manakala seorang lagi 11 tahun dan masih bersekolah.
“Dia seorang wartawan yang pernah memenangi anugerah dan tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Umum mengetahui bahawa dia terbabit dalam membantu melumpuhkan sindiket yang mengancam negara.
“Dia mempertaruhkan nyawanya dan ia adalah satu khidmat kepada negara, tetapi malangnya dia diheret ke mahkamah hari ini,” katanya.
Peguam itu berkata, anak guamnya menghormati proses mahkamah kerana dia datang sendiri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan selepas diberitahu oleh pegawai penyiasat.
Katanya, Nantha mahu membersihkan namanya dan dia akan datang ke mahkamah untuk berbuat demikian.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.