KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada pertuduhan akan dikenakan ke atas mana-mana pihak berhubung kes projek 1BestariNet.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut.
Keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan siasatan yang dijalankan sejak September lalu.
Katanya, siasatan telah dijalankan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, yang memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.
“Sehubungan itu, TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM, berserta syor-syor penambahbaikan.
“Antara langkah utama yang disyorkan ialah agar KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications Sdn Bhd untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, YTL Power International Berhad menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, berkata pihaknya menerima pengesahan bahawa anak syarikatnya YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms), bebas daripada sebarang salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa siasatan telah selesai, dan tiada sebarang pertuduhan akan dikenakan terhadap YTL Comms,” kata syarikat itu dalam pemfailannya kepada Bursa Malaysia.
Pada 4 Sept, SPRM telah melancarkan siasatan ke atas tuntutan pembayaran berkaitan tender perkhidmatan 1BestariNet, dan suruhanjaya itu menyerbu beberapa pejabat kerajaan serta pejabat YTL Comms.
Bagaimanapun, YTL Power International menepis tuduhan salah laku dan menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka.