Calon SPM Terjejas Banjir Selesai Pindah, Asrama Dilengkapi Buku, Internet dan Komputer

PASIR MAS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir telah berjaya dipindahkan ke lokasi selamat tanpa ada yang tercicir. Proses pemindahan yang dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi ini selesai sepenuhnya semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata semua calon kini ditempatkan di asrama dengan kemudahan terbaik untuk memastikan mereka dapat meneruskan persediaan peperiksaan tanpa gangguan.

“Alhamdulillah, semua calon SPM telah dipindahkan ke tempat selamat menerusi Op Payung dengan kerjasama pelbagai agensi. Di asrama, mereka diberikan kemudahan seperti buku, internet, dan komputer untuk membantu mereka membuat persediaan,” katanya ketika sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan beberapa sekolah yang terjejas banjir, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan diatur gerak ke tiga negeri teruk terjejas banjir untuk membawa calon SPM ke asrama serta pusat peperiksaan, sejak kelmarin.

Beliau berkata, ia bagi memastikan calon di Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh berada di pusat peperiksaan terbabit pada waktu ditetapkan.

Back To Top