Menurut data yang dikeluarkan oleh The Edge dalam artikel bertajuk “Fahmi: MCMC considers imposing liquidated damages over delays in Jendela Phase 1”, pada 28 November, disenaraikan terdapat lima syarikat yang diberi tanggungjawab membina menara dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
CelcomDigi menerima 866 menara, di mana 366 masih dalam pelaksanaan, manakala 193 menara sudah siap lebih sembilan bulan tetapi belum beroperasi.
Jika mengikut jumlah menara yang belum beroperasi, yang paling banyak adalah CelcomDigi dengan 193 menara, diikuti oleh YTL dengan 17 menara, 10 menara oleh Maxis, 4 menara oleh Redtone, dan 2 menara oleh U Mobile.
Keseluruhannya, sejumlah 226 menara tidak disiapkan dalam tempoh sembilan bulan sebagaimana yang ditetapkan.
Lima syarikat telekomunikasi ini bertanggungjawab untuk memasang pemancar telekomunikasi (base station microwave antenna) dan membekalkan perkhidmatan internet (connectivity) di kawasan sekitar.
Walau bagaimanapun, infrastruktur bagi menara dipasang oleh syarikat-syarikat yang mendapat tender secara terbuka daripada MCMC. Menurut sumber, terdapat 14 syarikat yang memenangi tender untuk membina infrastruktur bagi menara JENDELA.
Kelewatan menyiapkan menara ini tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada lima syarikat telekomunikasi ini semata-mata, kerana selepas infrastruktur menara siap, barulah lima syarikat ini boleh memasang pemancar telekomunikasi untuk tujuan connectivity.
Faktor Kelewatan Menara:
Permasalahan Tanah:
Lokasi di kawasan pedalaman dan tanah Orang Asli yang memerlukan rundingan dan persefahaman sebelum infrastruktur boleh didirikan.
Isu Teknologi:
Kelewatan juga berlaku akibat penyelarasan jalur lebar 4G (bandwidth) dan spektrum capaian di kawasan tertentu sebelum perkhidmatan internet boleh dilaksanakan di sekitar menara.
Kesimpulan:
Dari segi bilangan menara yang belum siap, CelcomDigi mencatat jumlah tertinggi dengan 193 menara, sebagaimana ditunjukkan dalam grafik di atas.
Daripada 14 syarikat yang terlibat dalam pembinaan menara, salah satu daripadanya adalah anak syarikat Axiata, yang juga merupakan pemilik saham terbesar dalam CelcomDigi. Sudah tentu, anak syarikat ini menyiapkan kerja untuk CelcomDigi terlebih dahulu sebelum syarikat lain.
Namun, masih banyak menara CelcomDigi yang belum siap. Anak syarikat tersebut juga bertanggungjawab menyiapkan kerja infrastruktur untuk empat syarikat telekomunikasi lain.
Adilkah untuk menyatakan pihak yang menerima jumlah menara kecil sebagai “corot”? Sedangkan infrastruktur untuk menara mereka disiapkan oleh anak syarikat yang menerima bilangan menara paling banyak?